Carian
Ulasan Nothing Phone (2a) – Bolehlah!
March 6, 2024 Fahim Zahar

Nothing Phone (2a) telah pun rasmi dilancarkan hari ini. Peranti ini bukan sekadar baik dari segi rekaan dan lampu Glyph sahaja, tetapi prestasi, perisian dan kamera juga tidak mengecewakan. Dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan selepas sekitar dua minggu.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

Skrin6.7″ AMOLED, 1084 x 2412 (394 PPI)
Gorilla Glass 5, 30Hz-120Hz, 1300 nits
CipMediaTek Dimensity 7200 Pro (4nm)
2x 2.8 GHz Cortex-A715
6x 2.0 Cortex-A510
GPUMali-G610 MC4
Kamera Belakang50 MP, f/1.88, OIS & EIS
50 MP, f/2.2

4K 30fps, 1080p 60fps
1080p 120fps (Slo-Mo)
TrueLens Engine, Ultra XDR,
Portrait Optimiser
Kamera Hadapan32 MP f/2.2
AudioSpeaker stereo
BiometriPengimbas cap jari bawah skrin
PerlindunganIP54
Bateri5000mAh
HargaRM1,699 12/256 GB

Rekaan peranti masih rata di sisi, panel belakang masih lutsinar, sistem LED Glyph masih disertakan dan peranti ini sangat selesa di dalam tangan. Seperti semasa menggunakan Phone (1) dan Phone (2) tempoh hari, saya beberapa kali ditegur orang bertanya apakah telefon yang saya gunakan kerana rekaan peranti Nothing yang unik berbanding peranti pengeluar lain.

Di atas hanya ada lubang mikrofon sementara di bawah pula terdapat port USB-C, lubang mikrofon, slot kad SIM dan kekisi speaker. Pada sisi kanan terdapat butang laras suara dan sisi kiri pula hanya ada butang kuasa. Bonggol kamera di belakang tidak begitu besar dan nampak seakan sepasang mata. Di sebalik panel lutsinar peranti ini, komponen peranti yang mengambil inspirasi daripada peta sistem kereta api bawa tanah New York.

Satu perkara bonus yang saya suka pada rekaan peranti ini ialah apabila diletak atas permukaan yang rata tidak akan terjungkit. Jika anda ingin tahu, panel belakang peranti ini menggunakan bahan binaan TPU yang sama dengan kebanyakan kerangka pelindung. Tetapi Nothing memberitahu kami, pengguna tidak perlu risau akan kesan kekuningan kerana ia tidak akan berlaku dalam jangka masa pendek.

SKRIN

Saya tiada masalah dengan skrin peranti-peranti Nothing. Ia cantik, terang dan menyokong kecerahan yang cukup memuaskan. Tetapi pada tahun 2024, untuk peranti kelas pertengahan yang kebanyakannya sudah menggunakan skrin sehingga 1500 nits ke 2000 nits – Phone (2a) yang terhad kepada 1300 nits agak mengecewakan. Walaupun tidak menggunakan panel LTPO, kadar segar semula adaptif peranti ini agak baik tidak seperti peranti pesaing dalam kelas sama.

Perkara yang saya tidak boleh maafkan adalah, Nothing masih enggan memberi pengguna akses menonton video HDR. Baik Prime Video, Netflix atau Disney+ sokongan HDR 10+ atau Dolby Vision tidak disokong dan terhad kepada FHD sahaja. Alasan jurutera Nothing semasa Phone (1) adalah, Netflix mewajibkan aplikasi sedia terpasang. Tetapi banyak sahaja peranti pesaing yang tidak mempunyai Netflix terbina tiada masalah menstrim kandungan dengan kualiti tertinggi.

SISTEM BIOMETRI

Agak perlahan. Jari saya yang sudah dilap dengan kain dan diyakini bersih baik jari kiri atau kanan, kedua-duanya ada masalah. Ia mengambil masa yang sedikit lama untuk diimbas dan menyahkunci peranti.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN – NOTHING OS, DIMENSITY 7200 PRO

Nothing Phone (2a) menggunakan Nothing OS 2.5 berasaskan Android 14. Ia adalah lebih kurang sama dengan pada Nothing Phone (2) sekarang, jadi ciri seperti Glyph Timer atau lampu bergerak mengikut aras suara dapat digunakan pada peranti ini. Nothing turut terus memfokuskan penggunaan tema monokrom, yang kini diberi pilihan ketika awal tetapan peranti.

Tidak banyak perubahan besar pun di dalam Nothing OS kerana perubahan besar adalah untuk Nothing OS 3.0 yang akan tiba tahun ini. Penggunaan Widget turut ditekankan dengan banyak widget hidup disertakan seperti kompas, pedometer dan banyak lagi. Nothing turut menyertakan ciri AI yang boleh menjana imej latar, serta menggunakan AI untuk memastikan sistem sentiasa lancar.

Berikut adalah antara ciri yang saya sukakan pada peranti ini;

    • RAM Booster
      • Menambah jumlah RAM sehingga 8GB.
    • Smart Clean
      • Serpihan fail disusun semula dengan AI agar boleh kekal beroperasi pantas seperti penggunaan hari pertama.
    • NTFS Optimisations
      • Pemindahan fail dari peranti ke komputer lebih pantas dan lancar.
    • HyperEngine 5.0
      • Memastikan bingkai permua kekal pantas dan jimat bateri sehingga 18%.
    • AI Wallpaper Generator
      • Seperti siri Pixel 8 dan siri Galaxy S24, boleh jana imej latar dengan AI.

Nothing Phone (2a) akan disokong selama tiga tahun untuk kemas kini perisian dan empat tahun untuk tampalan sekuriti. Pada hemat saya, ia adalah perkara baik. Nothing pun menyarankan pengguna Phone (1) yang telah menggunakan peranti untuk dua tahun bertukar ke Phone (2a).

PRESTASI DAN PENANDA ARAS – Dimensity 7200-Ultra

Memandangkan saya telah menguji peranti Dimensity 7200 yang lain iaitu Redmi Note 13 Pro+ 5G dengan Dimensity 7200 Ultra, saya boleh katakan pengalaman penggunaan dengan Phone (2a) bersama Dimensity 7200 Pro adalah lebih kurang sama. Tetapi untuk permua dan multi-tugasan, Redmi adalah lebih baik. Disebabkan itu juga skor penanda aras Phone (2a) adalah lebih rendah.

Untuk penggunaan ringan dan bersahaja seperti sekadar kamera dan media sosial. Nothing Phone (2a) benar-benar dibangunkan memfokuskan kepada penggunaan teras Nothing OS sahaja.

Geekbench 6

  • Nothing Phone (2a) – 1110/2589
  • Redmi Note 13 Pro+ 5G – 1127/2658
  • Oppo Reno11 Pro 5G – 934/3389

Antutu 3D

  • Nothing Phone (2a) – 685,115
  • Redmi Note 13 Pro+ 5G – 757,180
  • Oppo Reno11 Pro 5G – 937,938

3DMark Wild Life Extreme

  • Nothing Phone (2a) – 1157 / 6.93 FPS
  • Redmi Note 13 Pro+ 5G – N/A
  • Oppo Reno11 Pro 5G – N/A

Permua dengan grafik tinggi seperti COD Mobile boleh dimainkan pada tetapan maksimum, tetapi peranti akan mula memanas dan selepas bermain lengah masa pada sistem akan terasa. Permua lebih ringan seperti Marvel Snap turut rasa perlahan berbanding dimainkan pada Redmi Note 13 Pro+. Saya tidak rasa kecewa kerana wakil Nothing telah memberitahu saya, prestasi untuk permua bukan fokus utama peranti ini.

TELEFONI DAN GPS

Rekaan unik peranti ini membuatkan saya persoalkan Nothing, adakah menggunakan kerangka aluminium kemudian antena disembunyikan di sebalik lapisan cat dan plastik akan menjejaskan kualiti rangkaian Internet. Nothing menjawab tidak dan dalam cubaan saya tidak kira WiFi atau 5G semuanya beroperasi dengan baik. GPS juga baik sehingga saya boleh bergantung kepada peranti ini 100% untuk berjalan kaki di Barcelona seorang diri.

KAMERA

Setakat ini, Redmi Note 13 Pro+ dengan kamera 200MP adalah peranti kelas pertengahan yang berbaloi dimiliki. Bagaimana pula dengan Nothing Phone (2a) yang hanya ada kamera 50MP dan dijual pada harga lebih kurang sama. Kamera peranti ini agak baik, ia mampu memelihara butiran dengan baik cuma sistem OIS dan EIS yang digunakan seakan tidak begitu stabil. Ini menyebabkan gambar subjek bergerak atau di waktu malam kurang memuaskan.

Kemampuan zum boleh dilupakan kerana ia hanya digital dan tidak begitu memuaskan. Mod potret ada masalah fokus sedikit dan akhir sekali sudut ultra lebar kelihatan cantik. Perkara yang saya tidak puas hati adalah masa pasca proses setiap gambar adalah sekitar 3-5 saat yang mana agak perlahan.

Contoh Rakaman Video

Bukanlah yang terbaik, tetapi saya pun tidak akan mengadu lebih kerana saya perlu faham kemampuan peranti kelas pertengahan pasti akan terhad.

AUDIO

Nothing turut tidak menggunakan sistem Dolby dan lain-lain. Mereka hanya menggunakan Dirac, itu pun jika disambungkan dengan aksesori audio. Kualiti speaker peranti ini adalah baik-baik sahaja. Ia tidak begitu kuat dan jelas, kerana seakan tenggelam sedikit. Tetapi di luar rumah atau pejabat, ia kedengaran sedikit baik. Sekurang-kurangnya audio yang dikeluarkan adalah seimbang.

BATERI

Saya agak terkejut dengan ketahanan bateri peranti ini. Penggunaan ringan tiada masalah untuk peranti ini mencapai sehingga 6-8 jam. Sementara penggunaan berat dalam dua minggu penggunaan ini hanya bertahan sekitar 5-6 jam sahaja. Sokongan pengecasan dihadkan pada 45W iaitu sekitar satu jam, dan Nothing OS turut telah menyediakan banyak ciri untuk melindungi bateri peranti.

PESAING

Nothing Phone (2a)Redmi Note 13 Pro+ 5GOppo Reno11 5G
6.7″ AMOLED, 1084 x 2412 (394 PPI)
Gorilla Glass 5, 30Hz-120Hz, 1300 nits
6.67-inci CrystalRes AMOLED, 1.5K, 120Hz, 1800 nits,
Dollby Vision, Gorilla Glass Victus
6.7-inci AMOLED, FHD+, 120Hz, 800 nits,
HDR10+, Asahi Glass AGC
MediaTek Dimensity 7200 Pro (4nm)
2x 2.8 GHz Cortex-A715
6x 2.0 Cortex-A510
Dimensity 7200-Ultra (4nm)
2x 2.8 GHz Cortex-A715
6x 2.0 GHz Cortex-A510
Dimensity 8200 (4nm)
1x Cortex-A78, 3.1GHz
3x Cortex-A78, 3.0GHz
4x Cortex-A55, 2.0GHz
Mali-G610 MC4Mali-G610 MC4Mali-G610 MC6
12GB + 8GB Maya8/12 GB LPDDR512GB
256GB256/512 GB UFS 3.1512GB
Kamera Utama
50 MP, f/1.88, OIS & EIS (Sudut Lebar)
50 MP, f/2.2 (Sudut Ultra Lebar)
Kamera Utama
200 MP, OIS, f/1.65 (Sudut Lebar)
8 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar)
2 MP, f/2.4 (Makro)
Kamera Utama
50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
32MP f/2.0 (Ultra Sudut lebar)
8MP f/2.2 (Sudut Ultra Lebar)
Kamera Hadapan
32 MP, f/2.2
Kamera Hadapan
16 MP, f/2.5
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.4
IP54IP68Tiada
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh (Berwayar 45W)5000 mAh (Berwayar 120W)4600 mAh (Berwayar 80W)
RM1699 (12/256 GB)RM1599 (8/256 GB)
RM1999 (12/512 GB)
RM2499 (12/512 GB)

APA ADA DALAM KOTAK?

Berikut adalah apa yang anda terima dengan setiap pembelian Nothing Phone (2a);

  • 1x Nothing Phone (2a)
  • 1x Kabel USB-C ke USB-C
  • 1x Pin SIM
  • 1x Set buku panduan dan keselamatan

KESIMPULAN

Ia akan menjadi topik perbualan orang ramai dan dengan Hari Raya akan tiba tidak lama lagi, telefon ini turut boleh meliplapkan lagi suasana yang sudah ceria. Tetapi dari sudut nilai saya rasakan Redmi Note 13 Pro+ 5G adalah peranti yang lebih baik kerana mempunyai sokong Dolby Vision, pemproses lebih berkuasa, kamera lebih mantap, pengecasan lebih pantas, IP68 dan harga yang lebih berpatutan.

Nothing Phone (2a) adalah peranti kelas pertengahan premium yang baik. Berdasarkan penawaran mereka, jelas sekali Nothing cuba menjadi alternatif lebih unik dan premium berbanding Poco atau Redmi. Skrin yang baik, kamera yang boleh diterima, prestasi yang memuaskan, bateri yang tahan sangat lama serta rekaan peranti yang istimewa dengan sistem lampu Glyph yang berguna – anda pasti tidak akan kecewa menggunakan peranti ini.

PRO

  • Skrin yang baik dan pantas.
  • Rekaan cantik, menarik dan unik.
  • Glyph berguna.
  • Prestasi pantas dan Nothing OS cukup stabil.
  • Bateri tahan lebih lama dari sangkaan.

KONTRA

  • Skrin tidak menyokong penstriman HDR pada kebanyakan platform penstriman.
  • Permua tidak cukup pantas.
  • Tidak mempunyai pengecasan nirwayar.
  • Tiada perlindungan IP68, hanya IP54.
Komen