Terdapat satu ura-ura yang sedang berkisar di arena pengeluaran kad grafik, dimana jenama NVIDIA GTX akan digugurkan tidak lama lagi. Perkara ini berlaku kerana pengeluaran kad grafik siri NVIDIA GeForce GTX 16XX sudahpun ditamatkan, dan kad-kad grafik terakhir dalam siri ini sudahpun dihantar ke jenama pembuat kad grafik.
Dengan ini, ia dilihat bahawa model-model terakhir dalam siri kad grafik NVIDIA GeForce GTX yang menggunakan cip pemprosesan grafik Turing sudahpun habis dibangunkan, dan tiada lagi kad grafik dalam siri tersebut akan diperlihatkan lagi.

Dalam siri ini, hanya kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1630 dan NVIDIA GeForce GTX 1650 dibangunkan sehingga kini kerana NVIDIA GeForce GTX 1660 sudahpun ditamatkan lebih awal. Perkara ini juga bukanlah sesuatu yang baru, kerana NVIDIA sudahpun mengumumkan persaraan kad-kad grafik ini pada penghujung tahun lepas.
Kad grafik NVIDIA pertama yang menggunakan jenama GTX ialah NVIDIA 7800 GTX yang dilancarkan pada tahun 2005. Satu perkara menarik mengenai kad grafik ini ialah ia digunakan sebagai asas untuk membina CPU RSX Reality Synthesiser yang digunakan dalam konsol permainan video Sony PlayStation 3.

Dengan fokus NVIDIA kini bertukar kepada penaiktarafan teknologi ray-tracing dan penggunaan kecerdasan buatan dalam meningkatkan mutu grafik permainan komputer, ia tidak mengejutkan untuk melihat bahawa NVIDIA mahu meninggalkan jenama legasi ini.
Penawaran paling mampu-milik NVIDIA pasca jenama GeForce RTX ialah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050 yang diperkenalkan dua tahun lalu, yang tampil menggunakan cip grafik Ampere dan hadir dengan 8GB memori GDDR6 dan diperkenalkan bersama sokongan ciri-ciri grafik seperti NVIDIA DLSS, NVIDIA Reflex, ray-tracing dan sebagainya.