Cari @ Amanz

Pelancaran hari ini menyaksikan barisan mesin penyedut hampagas nirwayar Samsung di Malaysia dikemaskini dengan versi baharu. Samsung Bespoke Jet Plus diumumkan dengan fungsi sebagai penyedut hampagas pintar yang turut boleh mengelap lantai.

Sebanyak tiga versi disediakan yang termasuk Bespoke Jet Plus Premium Extra, Bespoke Jet Plus Premium dan Bespoke Jet Plus Pet. Satu-satunya perbezaan di antara kesemua produk ialah ketahanan bateri lebih lama mencapai 2 jam pada versi Premium Extra. Sementara itu versi Premium dan Pet pula sekitar 1 jam sahaja dengan sekali pengecasan.

Seterusnya kesemua produk berkongsi sebahagian besar fungsi yang sama seperti kemampuan menapis sehingga 99.999% kotoran bersama beg habuk anti-bakteria bersaiz 2.0 liter yang boleh menghalang 99.9% pertumbuhan bakteria. Ia juga dilengkapi berus LED untuk pembersihan menyeluruh berserta ciri khas Pet Tool+ yang menjadikannya sesuai untuk membersihkan bulu haiwan peliharaan dengan cekap.

Motor yang disediakan pula mampu menawarkan kuasa sedutan yang boleh mencecah 210W untuk pembersihan yang mendalam. Pengalaman juga menjadi lebih baik dengan adanya sistem ‘All in-one Clean Station’ berteknologi ‘Air Pulse’ yang boleh mengosongkan kebuk debu dan mengecas dengan sendiri. Digabung pula dengan tong sampah yang mesra pengguna dan boleh ditutup secara automatik untuk membuang bahan kotor dengan mudah.

Berat keseluruhan Bespoke Jet Plus adalah sekitar 15.4 kg yang menjadikannya mudah untuk dikendalikan tanpa memberi beban pada pergelangan tangan.

Bagi anda yang berminat, Bespoke Jet Plus dijual di Malaysia dengan harga bermula RM3,899 (Pet), RM4,199 (Premium) dan RM4,599 (Premium Plus). Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan percuma selama 5 tahun sebagai promosi pelancaran dari 1 Mac hingga 30 April 2024.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd