Carian
CMF Neckband Pro Dan CMF Buds Dilancarkan Secara Rasmi
March 6, 2024 Amy Maizuraa

CMF by Nothing memperluaskan portfolionya dengan memperkenalkan dua produk audio baharu. Ianya terdiri dengan CMF Neckband Pro dan CMF Buds yang sudah tentunya menawarkan nilai menarik tersendiri dalam menyediakan pengalaman penggunaan lebih baik.

Bermula dengan CMF Neckband Pro, ia merupakan fon telinga dengan gelung yang boleh melingkar pada bahagian leher. Ia dilihat menyerlah dengan kemasan serba jingga terang yang sinonim dengan warna utama buat subjenama berkenaan. Selain itu dilengkapi dengan elemen reka bentuk bulat bewarna kelabu yang berfungsi sebagai tombol berputar untuk kawalan kelantangan, memainkan, menjeda dan melangkau audio.

Turut diberikan ialah sokongan pembatalan hingar hibrid dengan kemampuan merendam bunyi sehingga 50dB. Diikuti dengan lima mikrofon HD terbina berteknologi Ultra-bass 2.0 untuk panggilan yang jelas. Dalam masa sama membolehkan pengguna menyesuaikan pengalaman mendengar dengan lima tahap bass yang boleh dilaras melalui aplikasi Nothing X. Fon telinga ini juga melepasi penarafan IP55 dan boleh beroperasi sehingga 37 jam melalui bateri 220mAh.

Seterusnya CMF Buds juga akan dilengkapi kemasan serba jingga, namun sejenis fon telinga nirwayar dari jenis dalam telinga (in-ear) bertangkai. Ia menawarkan pembatalan hingar aktif dengan kemampuan merendam bunyi sehingga 45dB bersama mod ketelusan terbina. Saiz fon telinga pula sebesar 12.4mm yang memuatkan empat mikrofon HD terbina berteknologi Ultra Bass 2.0 dan ditala oleh Dirac.

Tambatan pantas boleh dibuat melalui bluetooth 5.3 yang juga menyokong sambungan pintar dwi-peranti serentak. Dalam masa sama boleh digunakan sehingga 35.5 jam dengan bantuan pod pengecas melalui bateri berkapasiti 460mAh.

Semakan melalui laman web rasmi menyatakan kedua-dua produk akan mula ditawarkan di Malaysia pada penghujung Mac ini.

Komen