Carian
Kajian HP Mendapati 73% Pekerja Tidak Mempunyai Hubungan Sihat Dengan Kerja
March 7, 2024 Effi Saharudin

Adakah anda menyukai kerja yang anda lakukan sekarang? Sekiranya ya anda sebenarnya terdiri dalam golongan minoriti. Dalam laporan Work Relationship Index terkini HP, 73% pekerja pengetahuan mengaku tidak mempunyai hubungan yang sihat dengan kerja mereka. Kajian mengumpul maklum balas daripada lebih 15,600 responden melibatkan 12 buah negara.

Impak hubungan yang tidak sihat ini bukan sahaja buruk kepada pekerja tetapi juga kepada syarikat yang menggaji mereka. Sebanyak 71% responden juga menjawab mereka ingin diberikan kelonggaran untuk bekerja menggunakan waktu anjal mengikut jadual peribadi. Namun begitu hanya 26% mengatakan mereka menikmatinya secara konsisten di tempat kerja.

Hanya 64% pula diberikan pilihan untuk bekerja di rumah atau di pejabat mengikut kesesuaian. Lebih menarik ialah 72% responden sanggup mengambil potongan gaji jika diberikan pilihan bekerja di mana sahaja mereka mahukan mengikut kebebasan diri sendiri.

Impak penggunaan kecerdasan buatan (AI) juga turut disentuh. Sebanyak 42% tidak begitu yakin bila ia perlu digunakan di tempat kerja dengan 41% merasakan mereka tidak cukup bersedia untuk memanfaatkan potensi penuh AI dalam peranan mereka.

Oleh itu antara saranan yang diberikan oleh HP ialah majikan perlu mempunyai empati dan mendengar kepada keperluan kakitangan. Mereka juga perlu menyedari kakitangan berminat untuk mengintegrasikan AI dalam kerja mereka cuma perlu diberikan tunjuk ajar tentang bagaimana ia boleh digunakan dengan betul bagi meningkatkan produktiviti.

Komen