Xiaomi 14 Kini Rasmi Di Malaysia Pada Harga Bermula RM3,499
Amy Maizuraa
Xiaomi 14 diperkenalkan secara rasminya di Malaysia pada hari ini. Peranti ini didatangkan dengan spesifikasi kelas mercu yang juga sarat dengan pelbagai ciri khusus menarik. Selain itu disertakan juga kemasan tubuh yang rata bersama sisi dibulatkan.

Berkongsi lebih lanjut, peranti ini menggunakan skrin sejenis LTPO AMOLED 1.5K sebesar 6.36-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Pada masa sama paparan juga menyokong ciri tambahan seperti sokongan gamut warna DCI-P3 dengan kecerahan puncak maksimum 3000nits, Dolby Vision, HDR 10+ dan DC Dimming.


Seterusnya cip Snapdragon 8 Gen 3, memori 12GB RAM LPDDR5X RAM dan storan dalaman sehingga 512GB UFS 4.0 digunakan untuk tunjang utama. Diikuti juga sokongan pelancar baharu Xiaomi HyperOS sebagai pelengkap peranti ini. Bateri 4600mAh disertakan pula menyokong pengecasan pantas berwayar 90W dan nirwayar 50W.

Selain itu kamera peranti didatangkan dengan kanta Leica Vario-Summilux dengan persediaan tri-sensor 50MP. Ianya terdiri dengan 50MP (OIS) untuk utama dengan bukaan aperature f/1.6 bersama sensor Light Fusion 900 yang mampu menawarkan peningkatan kadar warna dinamik untuk HDR. Dipadankan pula dengan 50MP (OIS) untuk telefoto (f/2.0) dengan kemampuan zum optikal 3.2X dan 50MP untuk ultra-lebar.


Kamera peranti ini juga boleh digunakan untuk merakam video maksimum 8K/24fps. Di samping dilengkapi pelbagai fungsi fotografi menarik yang termasuk Master Lens untuk kemampuan potrait lebih baik. Kamera swafoto swafoto pula sebesar 32MP yang ditellan dalam lubang kecil di panel hadapan.
Lain-lain spesifikasi termasuklah pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos, NFC, kalis air IP68, pemancar infra merah dan sokongan Wi-Fi 7. Sebanyak tiga warna yang boleh dipilih seperti Black, White dan Jade Green.

Harga jualan peranti ini bermula RM3,499 (12/256GB) dan RM3,799 (12/512GB) sebuah. Pembelian yang dibuat diantara 8 hingga 21 Mac 2024 akan diberi hadiah menarik bernilai sehingga RM1,647.94. Ianya terdiri dengan Xiaomi Watch S3 (RM699), 6 bulan langganan Google One (RM50.94), setahun jaminan waranti tambahan (RM599) dan waranti tukar ganti skrin retak selama 6 bulan (RM299).

Sementara itu pembelian yang dibuat selepas 21 Mac 2024 pula akan menerima hadiah bernilai RM1,374.94. Ia termasuklah kotak hadiah eksklusif Xiaomi 14 (RM399), 6 bulan langganan Google One ( RM50.94), setahun jaminan waranti tambahan (RM599) dan waranti tukar ganti skrin retak selama 6 bulan (RM299).