Jika Taiwan Semiconductor Manufacturing Company ialah syarikat teknologi paling penting dalam pengeluaran cip semikonduktor di dunia, ASML ataupun Advanced Semiconductor Materials Lithography ialah syarikat paling penting dalam sektor pembuat kelengkapan pengilangan cip semikonduktor ini.
Berpangkalan di Belanda, beberapa laporan telah mengatakan bahawa syarikat tersebut dilihat mahu mengembangkan sayap mereka di negara-negara lain, kerana iklim perniagaan di negara tersebut yang menyukarkan mereka untuk mendapat tenaga kerja baru yang berkualiti.
Perkara ini berkaitan dengan cukai pendapatan untuk pekerja dari luar negara dan juga kesukaran untuk mendapatkan visa kerja. Ini adalah penting untuk ASML kerana 40 peratus daripada tenaga kerja syarikat tersebut terdiri daripada pekerja migran, dan iklim politik negara tersebut juga dilaporkan tidak begitu kondusif untuk perniagaan-perniagaan berskala besar.

Ia juga dilaporkan bahawa kerajaan Belanda mahu ASML hanya bertapak di Belanda dan tidak mahu syarikat tersebut membuka cabang baru di negara-negara lain atas beberapa faktor seperti ekonomi, keselamatan dan sebagainya.
Keadaan tersebut sebelum ini telah menyebabkan syarikat-syarikat seperti Shell dan Unilever untuk memindahkan operasi ibu pejabat mereka keluar daripada negara tersebut, dan membukanya di London, UK.
Oleh kerana ini, ia juga telah dilaporkan bahawa kerajaan Belanda sedang merangka undang-undang baru untuk membolehkan operasi ASML di negara tersebut untuk memastikan bahawa mereka mendapatkan tenaga kerja yang sesuai dengan mudah, dan tidak memindahkan ibu pejabat syarikat tersebut, yang diberi kod nama “Beethoven“.
ASML merupakan pembangun kelengkapan DUV (Deep Ultraviolet) dan EUV (Extreme Ultraviolet) yang diperlukan oleh syarikat-syarikat seperti TSMC, Intel dan Samsung untuk membangunkan cip-cip semikonduktor berteknologi tinggi dengan binaan 10, 5, dan 4nm kebawah.
Kemahiran ASML untuk membangunkan teknologi ini di Belanda menjadikan negara tersebut sebagai salah sebuah negara yang bernilai dalam era semikonduktor ini, dan pemergian ASML daripada negara tersebut boleh dilihat sebagai satu tamparan hebat terhadap kerajaan negara tersebut dari aspek politik dan polisi yang tidak membantu sesiapa.