Syarikat kamera dari Jepun, Nikon hari ini telah mengumumkan bahawa mereka akan mengambil-alih syarikat kamera RED Digital Camera, dalam satu langkah yang tidak dijangka oleh sesiapa.
Pengumuman tersebut, yang dibuat oleh Nikon sendiri mengatakan bahawa mereka akan mengambil-alih 100 peratus pegangan dalam RED Digital Cinema, bersama-sama dengan semua tenaga pekerja mereka melalui persetujuan Membership Interest Purchase Agreement yang mana Nikon akan mengambil-alih semua aset dan juga liabiliti sedia ada syarikat tersebut.

RED Digital Camera cukup terkenal untuk membangunkan kelengkapan kamera kelas sinematik seperti RED ONE 4K, RED V-RAPTOR [X] dan juga untuk membangunkan fail video RAW mereka sendiri yang menyimpan pelbagai butiran video seperti profil warna dan sebagainya, dan digunakan sebagai format lalai dalam dunia perfileman Hollywood.

Dengan pengambil-alihan ini, Nikon mengatakan bahawa mereka akan menggunakan kepakaran kedua-dua syarikat ini untuk membangunkan produk dan perkhidmatan kamera dan perisian yang tiada tolok bandingannya dalam dunia sinema. Adakah ini bermakna kita akan dapat melihat teknologi RED digunakan dalam kamera-kamera Nikon akan datang? Sama-sama kita tunggu dan lihat.
Apa yang menarik mengenai pengambil-alihan ini ialah pada 2022, RED Digital Camera pernah menyaman Nikon kerana perlanggaran paten, tetapi saman tersebut digugurkan pada penghujung 2023.