Honor menetapkan sasaran untuk mencapai penguasaan bahagian pasaran jualan telefon pintar di Malaysia sebanyak 20 peratus menjelang penghujung 2024. Honor berkata sasaran itu boleh dicapai melalui pengenalan model baharu dalam segmen kelas pertengahan hingga premium yang mengetengahkan teknologi inovatif dan relevan bagi pengguna.
Untuk rekod setakat ini syarikat itu sudah meraih lebih 15 peratus penguasaan pasaran telefon pintar di negara ini. Menurut Honor, pencapaian itu berjaya dicapai disebabkan nilai teras syarikat yang mengutamakan kemudahan pelanggan. Bagi mereka tidak cukup untuk hanya memberi tumpuan pada jumlah yang besar semata-mata tetapi juga kepada nilai yang mampu meningkatkan gaya hidup pelanggan.
Bagi tujuan itu bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) Honor perlu memainkan peranan penting dalam memajukan teknologi, khususnya bagi telefon boleh lipat. Melaluinya mereka perlu memastikan setiap peranti dihasilkan mempunyai ciri khas yang menonjol untuk pengalaman pengguna lebih realistik.
Misalnya seperti Honor Magic V2 yang menjadi peranti boleh lipat paling nipis dan ringan setakat ini. Selain itu hal berkenaan turut menyumbang kepada kejayaan jualan Honor kerana pengguna dikatakan lebih cenderung tertarik pada peranti yang dapat memberikan pengalaman lancar tanpa gangguan. Ini termasuklah sokongan skrin dan bateri yang besar.
Seperti sedia maklum peranti Magic6 Pro dan RSR Porsche Design baru sahaja diumumkan untuk pasaran global di MWC 2024. Susulan daripada itu Honor kini dalam persediaan untuk pelancaran di Malaysia pula pada suatu tarikh yang akan diumumkan kemudian.