Meta, syarikat disebalik Facebook dan Instagram kini menyatakan mereka sedang dalam usaha membangunkan enjin pengesyoran video yang baharu untuk semua platform dibawah mereka. Dengan langkah ini, ia dijangka akan memperlihatkan video-video yang lebih berkait dan menarik untuk setiap pengguna.
Model enjin pengesyoran baharu ini dijangka bukan sahaja menguasakan video-video Reels, tetapi pelbagai video lain yang dikongsikan melalui platform mereka, termasuk video berdurasi panjang.

Berkongsi lanjut melalui acara persidangan teknologi di San Francisco, pihak Meta turut menyatakan buat masa ini mereka menggunakan model pengesyoran berbeza untuk setiap ciri, termasuk untuk Reels, Facebook Feed, dan juga Facebook Groups.
Dengan pembangunan model pengesyoran baharu ini, ia dijangka bukan sahaja menawarkan kandungan yang lebih baik, tetapi juga akan lebih relevan dan membuatkan pengguna berinteraksi dengan lebih aktif melaluinya.
Memberi idea awal, pihak Meta menyatakan mungkin kelak anda melihat sesuatu video di Reels, dan seterusnya ke Facebook Feed dimana akan dapat melihat beberapa kandungan yang lebih kurang sama juga.