Cari @ Amanz

Realiti hari ini menyaksikan peranan wanita telah berkembang dengan pesat dari masa ke semasa dalam pelbagai aspek termasuk dunia teknologi. Penglibatan wanita ini juga berpotensi membawa lonjakan perubahan ketara dalam masyarakat.

Selaras dengan itu inisiatif Cyberjaya Women’s Network telah diperkenalkan melalui Cyberview Sdn. Bhd. (Cyberview) dalam memastikan wanita di negara ini dapat terus diperkasakan secara komprehensif dan inklusif. Inisiatif ini bertujuan supaya wanita dapat meningkatkan peluang mereka dalam pelbagai bidang. Pada masa sama memainkan peranan sebagai platform utama untuk bimbingan, pembangunan kerjaya dan peningkatan kemahiran wanita dalam komuniti teknologi yang sedang meningkat di Cyberjaya.

Cyberview turut menyifatkan inisiatif ini sebagai tanda keprihatinan kepada kaum hawa sekaligus membuktikan memperkukuhkan komitmen syarikat terhadap prinsip berteraskan kelestarian, fokus, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Sementara itu agenda pemerkasaan wanita pula menjadi sebahagian topik dalam konsep Diversity, Equity, and Inclusion (DEI) yang menjadi tumpuan dalam pelbagai bidang termasuklah organisasi sosial.

Cyberview dalam ucapan pembukaan pada hari ini turut berkongsi bahawa 50% daripada tenaga kerja mereka adalah wanita dengan 36% yang memegang jawatan peringkat pembuat keputusan. Jumlah ini dijangka akan terus meningkat pada masa akan datang sejajar dengan pengembangan berterusan dalam pekerjaan.

Dalam majlis yang sama turut diadakan ialah perbincangan panel mengenai realiti dan cabaran seorang wanita berkerja dalam memenuhi komitmen sebagai pekerja dan pengurus rumahtangga. Selain turut menyaksikan Cyberview menjalinkan kerjasama strategik bersama TM R&D​, AIBP​​ dan LeadWomen.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd