Hisense adalah pengeluar barangan elektrik yang semakin dikenali ramai. Mereka lebih terkenal dengan produk televisyen pintar berkuasa pada harga mampu milik. Tetapi seperti pengeluar lain, Hisense turut mempunyai projektor laser tersendiri yang boleh memancar skrin bersaiz sehingga 100-inci. Baru-baru ini, Hisense telah bekerjasama dengan Xbox untuk projektor laser 100-inci mereka menerima pengiktirafan Designed for Xbox.

Produk Hisense Laser baharu ini menyasarkan komuniti pengguna Xbox untuk memberi mereka pengalaman bermain yang tiada tandingan dengan produk paparan pesaing. Hisense menjanjikan kualiti paparan yang tidak menyakitkan mata, warna yang sangat hidup dan terang serta membawa pemain ke suasana permainan yang imersif.
Designed for Xbox Program yang Hisense sertai ini turut memastikan produk paparan mereka menyokong kadar segar semula yang tinggi dan juga mod sela masa rendah. Hisense dilihat cuba mengubah pasaran permainan video skrin gergasi dengan projektor laser yang menjamin paparan kandungan paling berkualiti dengan butiran yang jitu.

Ketika artikel ini ditulis, Hisense tidak berkongsi model projektor yang menerima pengiktirafan Designed for Xbox. Di laman web Hisense Malaysia, 4K Laser Cinema PX1-PRO disenaraikan menyokong pancaran laser untuk skrin bersaiz 90-inci ke 130-inci yang berharga sekitar RM17,000. Adakah anda pemain Xbox dan ingin beralih ke projektor Hisense?