NVIDIA kini mempunyai superkomputer yang dibangunkan dengan cip pemprosesan kecerdasan buatan H100 dan H200 yang merupakan diantara superkomputer yang paling berkuasa di dunia. Walaupun superkomputer ini dilihat menggunakan kuasa yang tinggi, ia masih lagi mampu disejukkan dengan sistem penyejukan kipas angin.
Di acara SIEPR Economic Summit 2024, CEO NVIDIA, Jensen Huang telah mengatakan bahawa superkomputer DGX akan datang akan disejukkan dengan sistem penyejukan cecair selepas ini dan akan hadir dengan rekaan serba elegen untuk membolehkan superkomputer tersebut beroperasi secara optima.

Tiada butiran lanjut yang diberikan mengenai superkomputer akan datang ini, cuma kebarangkalian besarnya ialah ia akan menggunakan cip pemprosesan Blackwell yang telah diperlihatkan pada penghujung tahun lepas dan akan menggantikan cip Hopwell pada tahun ini.
Dell juga secara tidak langsung telah memperlihatkan penggunaan kuasa kad grafik ini, yang dikatakan akan mencecah 1000W. Sekiranya sebuah superkomputer DGX tampil dengan lapan kad grafik Blackwell sepertimana apa yang diperlihatkan pada DGX H100, ia tidak mengejutkan untuk melihat sistem penyejukan cecair terbina didalam superkomputer tersebut.