Xiaomi Buang Ciri Main Video YouTube Di Latar Tanpa Langganan Premium
Fahim Zahar
Seperti yang semua sedia maklum, jika anda ingin mainkan video YouTube di latar anda perlu melanggan YouTube Premium. Jika tidak, setiap kali anda kunci skrin atau tukar aplikasi video yang dimainkan tadi akan dijeda. Tetapi tahukah anda pada peranti Xiaomi, ada ciri “Mainkan bunyi video dengan skrin mati“ atau Play video sound with screen off yang boleh memainkan video YouTube dengan skrin dikunci tanpa membayar apa-apa langganan.

Terbaru dengan kemas kini aplikasi Sekuriti pada peranti Xiaomi HyperOS dan MIUI 12 – MIUI 13, ciri ini telah dibuang. Perubahan ini berlaku atas arahan Google kerana Xiaomi secara tidak langsung menyertakan ciri YouTube Vanced pada Video Toolbox mereka. Umum sedia maklum yang YouTube pun sedang memerangi pemalam penghalang iklan dan menggalakkan orang ramai melanggan Premium untuk pengalaman terbaik.

Dalam semakan saya, aplikasi Mi Video turut telah dikemaskini membuang laman YouTube. Sebelum ini, Mi Video menyertakan YouTube web yang boleh ditonton bebas iklan juga tanpa sebarang langganan. Jika anda ingin tonton video YouTube bebas iklan dan boleh mainkan audio di latar, langganan Premium adalah percuma sebulan untuk pengguna baharu dan boleh teruskan pada harga bermula RM17.90.
[sumber] Telegram – Mi Fans Home [sumber]