Carian
Ulasan Oppo Reno11 F 5G – Integrasi Prestasi & Kecantikan Dalam Satu Peranti
March 15, 2024 Rihhadatul Aisy

Barisan siri Oppo Reno11 kini hadir lagi dengan model terbaru iaitu Oppo Reno11 F 5G. Peranti ini telah tiba di makmal Amanz sejak seminggu yang lalu untuk diuji. Justeru itu, menerusi artikel kali ini, saya akan kongsikan apa yang ditawarkan oleh Oppo Reno11 F 5G berdasarkan spesifikasi dan prestasi yang ditunjukkan selama lebih satu minggu tempoh penggunaan.

SPESIFIKASI

Oppo Reno11 F 5G
Skrin6.7″ AMOLED, HDR10+, 120HZ
PemprosesMediatek Dimensity 7050
Cip2 X 2.2 GHz Cortex-A78
6 X 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G68 MC4
RAM8/12GB LPDDR4X
8GB Maya
Muatan Dalaman256GB UFS 3.1
Mikro SD 1TB
Kamera Utama64MP, f/1.7 (Utama)
8MP, f/2.2 (Ultra-lebar)
2MP (Makro)
Kamera Swafoto32MP f/2.4
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 67W SUPERVOOC
SIM/TelefoniDwi SIM/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP65
Sistem ImbasanPengimbas cap jari bawah skrin / Wajah
Harga JualanRM 1399 (8/256 GB)

SKRIN

Skrinnya rata bersaiz 6.7″ AMOLED dengan resolusi HDR10+ bersama kadar segar semula 120Hz yang boleh ditetapkan mengikut kesesuaian dengan beberapa pilihan sama ada secara auto, standard atau high dengan kadar segar semula yang boleh direndahkan kepada 60Hz. Panel skrin yang terbina pada peranti ini adalah responsif terhadap sentuhan dan mampu memberikan pengalaman menonton kandungan video yang baik.

Bezel pada skrin juga nipis sekaligus menjadikan luas paparan kandungan lebih menyeluruh bersama dengan tahap kecerahan puncak sehingga 1100 nits yang pastinya masih lagi terang meskipun digunakan di bawah matahari terik. Satu bulatan kecil di bahagian atas skrin berperanan sebagai kamera hadapan.

BIOMETRI

Pengimbas cap jari dibina di bahagian bawah skrin dengan ia dapat mengesan cap jari dengan baik dan pantas. Sistem imbasan wajah yang disediakan juga dapat berfungsi dengan baik walaupun dalam keadaan gelap tanpa isu kegagalan mengesan wajah atau masalah lengah masa yang mengecewakan.

REKAAN

Oppo Reno11 F 5G hadir dengan rekaan yang diilhamkan oleh alam semula jadi dengan tiga pilihan warna menarik iaitu warna Palm Green, Coral Purple dan Ocean Blue. Peranti yang saya uji ini ialah warna Ocean Blue dengan rekaan corak seakan-akan ombak di laut biru yang beralun dan berkilauan bersama panel tubuh belakang yang licin dan tubuh yang rata. Peranti ini juga sangat ringan dan nipis iaitu dengan berat 177g dan ketebalan 7.54mm.

Tubuhnya selesa dipegang dan mudah dikendalikan dengan sebelah tangan. Terdapat juga dua bonggol lensa kamera yang menempatkan sistem tiga kamera pada bahagian belakang yang tidak terlalu tebal serta lapisan lingkaran petak di bawahnya. Tidak seperti Reno11 5G sebelum ini yang didatangkan dengan lapisan bawah lensa kamera yang berbentuk bujur.

Butang kuasa dan laras audio terletak di bahagian sisi kanan manakala talam dwi SIM nano dan slot untuk kad mikro SD diletakkan pada sisi kiri. Pada bahagian bawah pula terdapat port untuk pengecasan USB-C dan juga speaker. Bahagian atasnya pula hanya menempatkan satu lubang kecil untuk fungsi pembatalan hingar.

Tiada lubang bicu audio 3.5mm yang terbina padanya namun terdapat ciri IP65 kalis air dan juga habuk. Rekaan peranti ini secara keseluruhannya langsung tidak menyerupai rekaan pada Oppo Reno11 5G yang pernah saya ulas sebelum ini tetapi memiliki nilai kosmetik dan reka bentuk yang tersendiri.

PENGGUNAAN & PERISIAN

Oppo Reno11 F 5G menjalankan sistem operasi ColorOS 14 berasaskan kepada Android 14. Di sinilah saya sedari sedikit ralat padanya dimana terlalu banyak aplikasi gendut telah dimuatkan. Paparan antara mukanya pula kemas dengan beberapa fungsi tambahan seperti File Dock, Smart Touch dan Smart Image Matting.

Kemampuan cip pemproses MediaTek Dimensity 7050 yang terbina bersama dirasakan cukup baik dalam menggerakkan peranti meskipun ia merupakan sebuah cip pemproses yang agak lama. Peranti turut dilengkapi dengan saiz memori 8GB RAM dan saiz storan 256GB. Bukan itu saja, ciri penambahan RAM juga tersedia dimana tetapan RAM maya boleh dikembangkan sehingga 8GB RAM ataupun dimatikan. Sepanjang tempoh ujian, semua aplikasi dapat dijalankan dengan baik serta dapat dimuat turun dengan pantas tanpa sebarang masalah.

PENANDA ARAS

Berikut adalah skor daripada hasil ujian penanda aras yang dicatatkan oleh Oppo Reno11 F 5G menggunakan Geekbench 6, Antutu 3D dan 3D Mark. Perbandingan dilakukan dengan Oppo Reno11 5G dan realme 11 Pro+ kerana ketiga-tiganya menggunakan cip pemproses jenis yang sama iaitu Dimensity 7050.

Antutu 3D Benchmark

  • Oppo Reno11 F 5G – 606353
  • Oppo Reno11 5G – 501800
  • realme 11 Pro+ – 562446

Geekbench 6

  • Oppo Reno11 F 5G – 884/2164
  • Oppo Reno 11 5G – 797/2254
  • realme 11 Pro+ – 946/2382

WildLife Extreme

  • Oppo Reno11 F 5G – 2176
  • Oppo Reno 11 5G – 2278
  • realme 11 Pro+ – tidak boleh diuji

Melihat kepada hasil catatan skor dan juga perbandingannya dengan peranti lain yang menggunakan cip sama menunjukkan skor yang agak seimbang. Sepanjang tempoh penggunaan, memang dari segi kelancaran paparan dan aplikasi adalah baik dan seakan-akan sama sahaja dengan pengalaman saya menggunakan Oppo Reno11 5G sebelum ini.

Memainkan permua kegemaran seperti Call Of Duty dengan tetapan paparan kualiti tinggi juga agak baik tetapi tidak dinafikan dengan tetapan sederhana permua dapat dimainkan dengan lebih lancar. Saya juga sedari memainkan permua dalam jangka masa lama akan menyebabkan tubuh peranti menjadi sedikit panas tetapi bukanlah panas yang melampau. Keseluruhannya dari segi prestasi, Oppo Reno11 F 5G memiliki kemampuan prestasi yang baik untuk sebuah peranti kelas pertengahan.

TELEFONI & GPS

Peranti ini menyokong rangkaian 5G dan WiFi 6 dimana ia memberikan pengalaman penggunaan GPS yang sederhana. Tidak terlalu pantas dan tidak juga terlalu perlahan sepanjang tempoh penggunaan.

KAMERA

Seterusnya, sistem kamera peranti dilengkapi dengan 64MP (utama), 8MP (ultra-lebar) dan 2MP (makro) yang memberikan hasil tangkapan gambar dan video yang agak baik. Kameranya juga memiliki kebolehan merakam video sehingga 4K. Menurut Oppo, peranti ini adalah sebuah lagi telefon pintar dengan kamera portrait expert yang sama seperti model Reno11 5G sebelum ini. Pencahayaan yang mencukupi menjadikan hasil gambar terlihat terang, cantik dan lebih cerah. Walaupun ditangkap dalam keadaan persekitaran yang agak malap, gambar masih akan terlihat sedikit lebih terang dan ketajaman masih terpelihara.

Hasil gambar potret yang diambil menggunakan peranti ini juga bertepatan dengan apa yang diperkenalkan Oppo iaitu ‘potrait expert’. Subjek dalam gambar dilihat jelas dan ciri potretnya juga dapat membezakan subjek dengan latar belakang dengan baik.

Hasil gambar menggunakan mod malam juga dilihat baik dengan keterangan yang cukup terang. Meskipun agak kurang tajam tetapi masih memperlihatkan objek dalam gambar dengan jelas walaupun gambar diambil dalam keadaan gelap dan kurang pencahayaan.

Kamera swafoto 32MP yang terbina pula memberikan hasil gambar yang sekadar memuaskan. Warna gambar pula tidak terang dan pudar.

BATERI

Kapasiti bateri peranti ialah 5000mAh yang pastinya boleh bertahan sepanjang hari dengan sekali pengecasan. Sokongan pengecasan 67W SUPERVOOC yang disediakan pula mengambil masa sekitar 50 minit untuk penuh dari peratusan bateri 15% ke 100%. Ciri pengecasan pintar juga disediakan dimana ia boleh ditetapkan untuk melaraskan corak pengecasan berdasarkan rutin penggunaan dan terdapat juga tetapan stop charging at 80% sama seperti yang terdapat pada iPhone dan telefon pintar Samsung untuk penjagaan kesihatan bateri yang lebih baik.

AUDIO

Menariknya tentang sistem audio pada Oppo Reno11 F 5G ini ialah ia memiliki ciri ultra-volume yang menjadikan kelantangan audio peranti boleh dipertingkatkan sehingga 300%. Sejujurnya ciri ini memang jarang saya gunakan kerana ia terlalu kuat dan menyakitkan telinga tetapi dirasakan agak berguna jika digunakan dalam suasana bising.

Pengalaman menonton video dan mendengar muzik adalah memuaskan tetapi jika dipasang dengan tingkat suara yang tinggi, audio akan kedengaran sedikit bingit dan seakan-akan pecah. Di sinilah kelemahan audio mono dapat dikesan sekaligus menjadi salah satu kekurangan pada peranti.

PERANTI PESAING

Oppo Reno11 F 5GOppo Reno11 5Grealme 11 Pro+
6.7″ OLED, HDR10+, 120HZ6.7″ AMOLED, HDR10+, 120Hz6.7″ AMOLED, FHD+, 120Hz
Dimensity 7050 (6nm)
2 X 2.6 GHz Cortex-A78
6 X 2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 7050 (6nm)
2×2.6 GHz Cortex-A78
6×2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 7050 (6nm)
2x 2.6 GHz Cortex-A78
6x 2.0 GHz Cortex-A55
Mali-G68 MC4Mali-G68 MC4Mali-G68 MC4
8GB12GB12GB
256GB UFS 3.1256 GB UFS 2.2512GB
Kamera Utama
64MP, f/1.7 (Utama)
8MP, f/2.2 (Ultra-lebar)
2MP (Makro)
Kamera Utama
50MP, f/1.8 (Sudut Lebar)
8MP, f/2.2 (Ultra sudut lebar)
32MP, f/2.0 (Telefoto)
Kamera Utama
200MP f/1.69 OIS (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
2MP f/2.4 (Makro)
Kamera Hadapan
32MP f/2.4
Kamera Hadapan
32 MP f/2.4
Kamera Hadapan
32 MP f/2.45
IP65Tidak kalis airTidak kalis air
Tiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Audio Mono Audio StereoAudio Stereo
5000 mAh (Berwayar 67W)5000 mAh (Berwayar 67W)4900 mAh (Berwayar 66W)
RM 1399 (8/256GB)RM 1899 (12/256GB)RM 1999 (12/512 GB)

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.

  • 1x Oppo Reno 11 F 5G.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Pengecas 67W tiga pin.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Setelah lebih seminggu mengujinya, apa yang boleh saya simpulkan, inilah Oppo Reno11 F 5G sebuah peranti yang layak disebut sebagai peranti ‘portrait expert’ dengan gabungan rekaan tubuh yang ringan, cantik dan unik bersama dengan keupayaan prestasi yang baik. Bagi mereka yang sukakan ciri kamera potret tetapi mahukan peranti dengan harga masuk akal, maka Oppo Reno11 F 5G boleh dipertimbangkan.

Kapasiti baterinya juga besar dan boleh bertahan lama serta memiliki paparan skrin yang baik. Pada hemat saya, kekurangan dari segi audio mono pula masih boleh diterima kerana ini mungkin salah satu ciri penurunan spesifikasi yang dilakukan oleh Oppo bagi penawaran Reno11 F 5G ini agar harganya sedikit lebih rendah dari model biasa.

Pro

  • Skrin 120Hz.
  • Kapasiti bateri besar dan tahan lama.
  • Speaker lantang dengan ciri ‘ultra-volume’.
  • Kalis percikan air IP65.

Kontra

  • Hasil gambar swafoto yang pudar dan kurang tajam.
  • Banyak aplikasi ‘bloatware’ yang dimuatkan.
  • Tiada bicu audio 3.5mm.
  • Audio Mono
Komen