Cari @ Amanz

Airbnb mengemaskini garis panduan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) oleh pemilik unit sewaan. Ia kini diharamkan penggunaannya sama sekali di keseluruhan unit bagi menjaga privasi penyewa. Sebelum ini mereka dibenarkan meletakkan kamera CCTV di ruang awam seperti ruang tamu dan koridor sahaja bagi tujuan pemantauan pelanggan yang menyewa.

Garis panduan ini digunapakai pada kesemua pemilik unit Airbnb seluruh dunia bermula 30 April depan. Pemilik unit diberikan masa untuk menanggalkan kamera CCTV yang telah dipasang. Penggunaan kamera pada ruang luaran unit seperti pada loceng pintu masih lagi dibenarkan. Jika kamera CCTV diletakkan di bahagian luaran unit, pemilik perlu memberitahu penyewa lokasi di mana ia diletakkan.

Penggunaan kamera CCTV ialah subjek yang sering dibangkitkan oleh penyewa Airbnb sejak dari dahulu lagi kerana berlaku banyak kes ia disorokkan dalam bilik tidur dan bilik mandi. Penyewa merasakan privasi mereka dicerobohi sementara pemilik unit kata ia hak mereka untuk memantau bagi memastikan mereka mempunyai bukti kerosakan berlaku disebabkan oleh penyewa.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd