Qualcomm dalam persediaan hadir dengan cip pemprosesan perdana baharu pada 18 Mac akan datang. Pengumuman ini dibuat melalui salah satu kemaskini di weibo namun nama rasminya masih dirahsiakan setakat ini.

Ramai yang mengaitkan pelancaran tersebut dengan cip Snapdragron 8s Gen 3 dan Snapdragon 7+ Gen 3. Kedua-dua pemproses juga dilihat menjadi bualan sejak kebelakangan ini, dan pelbagai butiran yang mungkin melengkapinya turut didedahkan.
Melaluinya, Snapdragon 8s Gen 3 dikhabarkan akan mempunyai satu teras Cortex-X4 dengan kelajuan jam 3.01GHz, empat teras Cortex-A720 dengan kelajuan jam 2.61GHz, dan tiga teras Cortex-A520 dengan kelajuan jam 1.84GHz dalam CPU. Ia juga dikatakan hadir dengan GPU Adreno 735.
Sementara itu, Snapdragon 7+ Gen 3 boleh menampilkan satu teras Cortex-X4 dengan kelajuan jam 2.9GHz, empat teras Cortex-A720 dengan kelajuan jam 2.6GHz, dan tiga teras Cortex-A520 dengan kelajuan jam 1.9GHz. Ia juga dikatakan hadir dengan GPU Adreno 732.

Kedua-dua cip pemproses ini turut berpotensi mempunyai seni bina yang sama seperti Snapdragon 8 Gen 3.