Carian
Canva Menang Kes Sibersetinggan 174 Nama Domain Terhadap Usahawan Malaysia
March 12, 2024 Fahim Zahar

Canva adalah laman web yang menyediakan perkhidmatan rekabentuk pelbagai jenis grafik untuk logo, risalah iklan, Instagram Story dan sebagainya. Laman ini turut menawarkan berbagai templat yang boleh didapatkan secara percuma ataupun berbayar. Perkhidmatan Canva ini cukup popular di Malaysia sehingga ada yang menjadikannya tempat mencari rezeki dengan menjual templat.

Terdapat banyak cara untuk mendapatkan templat Canva. Ada yang menjual di Shopee ada juga yang menjual di laman web sendiri. Terbaru, Canva telah mengemukakan pertikaian bersama World Intellectual Property Organization (WIPO) kerana mendapati ada 174 nama domain menggunakan nama Canva yang digunakan untuk sibersetinggan (cybersquatting).

Kesemua 174 nama domain seperti bijakcanva3030.com, bisnescanva.com, boscanva.com, brocanva.com didapati didaftarkan melalui CloudFlare, GoDaddy, Hello Internet Corp dan banyak lagi pada 9 November 2022 dan 8 Ogos 2023. Walaupun ada banyak nama domain, dalam siasatan Canva kesemuanya dikendalikan oleh seorang usahawan Malaysia iaitu Ubaidullah Jaafar dari Mastery Success.

Dalam kes ini, Canva dilihat lebih kepada memberi amaran dan terus menghalang akses nama-nama domain tadi mengakses laman web mereka. Dalam semakan saya, laman Facebook Ubaidullah iaitu Mastery Success masih beroperasi dan aktif. Beliau turut masih meneruskan perniagaan menjual templat Canva, mengajar orang ramai mencipta perniagaan serta membantu orang membangun laman web dengan Canva.

Komen