Apabila Tesla mula bertapak di Malaysia pada 20 Julai 2023, model kereta pertama yang diperkenalkan untuk pra-tempah ialah Tesla Model Y.

Hari ini, Tesla Malaysia telah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa penghantaran pertama kereta elektrik tersebut sudahpun bermula. Ia dijual pada harga bermula RM199,000 untuk model paling asas dan meningkat ke RM246,000 untuk model Long Range dan RM288,000 untuk Model Y Performance.
Ini adalah untuk model-model dengan sistem Autopilot asas sahaja. Tesla Model Y juga hadir dengan jarak WLTP sejauh 533km dengan satu pengecasan penuh dan boleh bergerak dari 0-100KM/j dalam masa 3.7 saat untuk Model Y Performance.

Ia turut dilaporkan bahawa sekitar 70 pelanggan Tesla yang telah pra-tempah kereta elektrik ini telah mengambil sendiri SUV elektrik baru mereka ini di ibu pejabat Tesla Malaysia di Cyberjaya. Ia dijangka bahawa lebih banyak lagi pelanggan akan menerima kenderaan mereka di hari dan minggu-minggu akan datang.