Apple kini terus memperkenalkan beberapa kaedah baharu untuk pengedaran aplikasi di rantau Eropah, selari perundangan baharu yang berkuat-kuasa di sana. Selain membenarkan kedai aplikasi pihak ketiga alternatif selain Apple App Store, kini Apple turut mengumumkan kelak pembangun aplikasi turut boleh mengedarkan aplikasi terus melalui laman web rasmi masing-masing.
Ini sekaligus memberikan kaedah pengedaran aplikasi alternatif yang tidak terikat pada kedai aplikasi, sebaliknya membolehkan pembangun menawarkan aplikasi untuk dimuat-turun terus dari web pembangun.
Apple akan menyediakan API khusus untuk tujuan berkenaan, termasuk beberapa tetapan untuk pembayaran dan lain-lain. Namun, Apple menyatakan pembangun perlu menepati beberapa kriteria yang ditetapkan, termasuk merupakan ahli Apple Developer Program untuk tempoh lebih 2 tahun, dan mempunyau aplikasi dengan lebih satu juta pemasangan di Eropah. Aplikasi yang diedarkan juga perlulah melalui domain web yang telah didaftarkan bersama App Store Connect.
Dengan perkembangan terbaru ini, kita mungkin mendengar beberapa lagi perkara baru untuk edaran aplikasi di rantau Eropah oleh pihak Apple.