Carian
SKMM Bekerjasama Dengan Telko Tawar Alat Untuk Ibu Bapa Kawal Peranti Anak
March 13, 2024 Effi Saharudin

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bekerjasama dengan lima syarikat perkhidmatan telekomunikasi utama untuk menawarkan alat bagi membantu ibu bapa memantau dan mengawal aktiviti dalam talian anak-anak mereka.

Ini dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam jawapan kepada soalan MP Kuala Krau, Kamal Ashaari mengenai kaedah kementerian memastikan kanak-kanak bawah umur 15 tahun dilarang memiliki akaun media sosial supaya mereka tidak terikut-ikut trend buruk. Alat kawalan untuk ibu bapa membolehkan ibu bapa menapis, mengehadkan dan menyekat kandungan dalam talian yang dilihat oleh anak-anak mereka.

iPad Kanak-Kanak

Selain itu Fahmi turut berkata bagi menangani risiko dan ancaman dalam talian yang ditimbulkan kepada kanak-kanak, pelaksanaan program pendidikan dan kesedaran tentang keselamatan Internet terus dipergiatkan menerusi inisiatif seperti Klik Dengan Bijak dan Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) di sekolah, serta Pusat Penyebaran Maklumat Negara (NaDi) di seluruh negara.

Mengenai soalan tambahan Kamal mengenai keperluan untuk memasukkan aspek kewarganegaraan digital ke dalam sukatan pelajaran kurikulum, Fahmi berkata ia memerlukan kerjasama kementerian seperti dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Digital dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Komen