Vivo V30 dan V30 Pro dilancarkan secara rasmi di Malaysia sebentar tadi. Peranti ini memberi tumpuan kepada prestasi fotografi lebih baik melalui sokongan kamera ZEISS pada versi pro. Selain itu fungsi Aura Light juga dinaiktaraf dengan saiz lebih besar dan mampu menyesuaikan kecerahan mengikut subjek untuk penghasilan semula gambar lebih baik.
Untuk spesifikasi, Vivo V30 Pro 5G menggunakan skrin sejenis AMOLED (2800 x 1260 piksel) sebesar 6.78-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Seterusnya, cip MediaTek Dimensity 8200, memori 12GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 512GB UFS 3.1 digunakan untuk tunjang utama. Diikuti juga pelancar baharu FunTouchOS 14 berasaskan Android 14 dan bateri 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 80W sebagai pelengkap.
Selain itu peranti juga menyokong kamera ZEISS dengan persediaan tri-sensor 50MP. Ianya terdiri dengan 50MP (OIS) untuk utama dengan bukaan aperature f/1.88. Dipadankan pula dengan 50MP (Portrait) dan 50MP untuk ultra-lebar. Turut disertakan ialah kamera swafoto 50MP dan penarafan IP54 untuk kalis habuk dan percikan air.
Vivo V30 5G pula dilengkapi skrin AMOLED sebesar 6.78-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Ini digabungkan dengan cip Snapdragon 7 Gen 3, memori 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB untuk tunjang utama. Bateri 5,000mAh disertakan juga boleh dicas melalui port USB-C dan pengecasan pantas 80W. Kemudian tetapan kamera pula terdiri dengan dwi-sensor 50MP untuk utama dan ultra-lebar, di samping kamera swafoto sebesar 50MP.
Bagi yang berminat, V30 dijual dengan harga bermula RM1,999 (12/256GB) dan RM2,199 (12/512GB). Sementara itu V30 Pro pula berharga RM2,599 (12/512GB).