Integrasi AI Pada Enjin Carian Google Dijangka Mengurangkan Trafik Ke Web Sehingga 60%
Aman
Google sebelum ini sedia memperkenalkan integrasi jawapan berasaskan kecerdasan buatan pada enjin carian mereka, dinamakan Search Generative Experience (SGE). Melaluinya, Google akan menjana jawapan untuk persoalan yang ditanya, disamping menyenaraikan sejumlah web seperti hasil carian biasa pada bahagian bawah.
Selari dengannya, kini menurut beberapa pakar pengoptimasian enjin carian, langkah ini akan memberikan kesan kepada trafik organik ke web penerbit kandungan, berkurangan antara 20% ke 60%.

Dengan pengurangan trafik ke sesuatu web juga, ia sekaligus dijangka akan mengurangkan pendapatan melalui pengiklan di web-web penerbit kandungan berkenaan. Selain trafik organik melalui carian, pengiklanan pada enjin carian juga mungkin membawa kepada pengurangan klik, memandangkan iklan kini dipaparkan pada bahagian bawah hasil janaan SGE, dan bukannya pada bahagian atas seperti sebelum ini. Ini juga secara tidak langsung membawa kepada perubahan kaedah interaksi pengguna pada hasil carian.
Buat masa ini, jangkaan berkenaan perkara ini masih pada peringkat awal memandangkan Google belum memperkenalkan ciri carian SGE ini secara menyeluruh lagi.