Sebelum ini, Amanz melaporkan, TheNoor akan menambah ciri kejut sahur di aplikasinya sepanjang Ramadan ini. Dinamakan sebagai Ramadhan WakeUp Call, ia nampaknya sudah sedia untuk digunakan oleh orang ramai dan berikut kami kongsikan cara menggunakannya.
Sebagai permulaan fungsi ini boleh ditemui di bahagian Teroka/Explore, seterusnya tetapan masa juga boleh ditetapkan ikut kesesuaian. Selain itu, pengguna juga boleh memilih sehingga empat pilihan suara yang terdiri daripada Neelofa, Haris Ismail, Bront Palarae dan Bell Ngasri untuk dijadikan nada dering. Terdapat juga pilihan ‘Suprise Me’ yang akan memainkan audio secara rawak.
Apabila tiba masa yang ditetapkan, pengguna akan menerima notifikasi yang kemudiannya apabila ditekan ianya memaparkan antaramuka seakan panggilan masuk. Pengguna boleh memilih sama ada mahu terima atau tolak, dan kalau diterima pengguna akan mendengar suara daripada pilihan nada yang telah ditetapkan untuk kejut bangun sahur.
Cubaan ringkas kami menggunakan kedua-dua peranti iPhone dan Android dilihat tidak menunjukkan perbezaan yang ketara. Malahan mudah sahaja untuk digunakan tanpa mengambil masa yang lama. Muat-turun TheNoor di Google PlayStore, AppStore dan AppGallery sekarang.