VLC merupakan salah satu pemain media yang popular pada pelbagai platform operasi. Dilancarkan sekitar 23 tahun lepas, kini VLC menyatakan mereka telah mencapai lebih 5 bilion muat-turun perisian mereka pada desktop dan juga platform mudah-alih.
Ini sekaligus meletakkan VLC sebagai antara pemain media dengan angka pengguna yang tinggi. Majoriti besar pengguna adalah pada desktop, dan pengguna pada platform mudah-alih adalah sekitar 318 juta muat-turun setakat ini. Google juga menyasarkan untuk menggunakan codec Dav1d yang dibangunkan VideoLan pada Android selepas ini, sekaligus memperlihatkan sumbangan yang tinggi oleh platform berkenaan.
Menariknya, bergerak ke hadapan, VLC menyasarkan pengenalan aplikasi untuk Apple Vision Pro tidak lama lagi. Mereka sedia mempunyai versi ujian, namun tidak memperkenalkan ia kepada umum lagi kerana angka pengguna yang masih kecil.
Disamping itu, pihak pembangun VLC juga kini sedang aktif dalam pembangunan versi baharu pemain media berkenaan. Masih tiada tarikh berkenaan pengenalan kemaskini ini buat masa ini.