Semalam OnePlus telah mengumumkan yang sebuah peranti kelas pertengahan baharu yang berkuasa akan dilancarkan. Peranti ini dikatakan menggunakan cip “8 Gen 3 kecil” yang boleh mencabar peranti mercu dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 sebenar.
Peranti ini adalah OnePlus Ace 3V (tahun lepas Ace 2V adalah Nord 3) dan cip yang dikatakan 8 Gen 3 kecil tadi adalah Snapdragon 7+ Gen 3. Menurut Presiden OnePlus China iaitu Li Jie Louis, cip ini dibangunkan oleh OnePlus bersama-sama dengan Qualcomm. Ia adalah kali pertama OnePlus menggunakan binaan cip siri Snapdragon 8 untuk Snapdragon 7+. Peranti baharu OnePlus ini akan menjadi yang pertama di dunia dengan cip ini.

Snapdragon 7+ Gen 3 menggunakan teras utama Cortex-X4, binaan 4nm, kuasa baca/tulis yang pantas dan sokongan komunikasi (5G, WiFi) yang sama dengan Snapdragon 8 Gen 3. Buat masa ini OnePlus tidak mendedahkan bila peranti ini akan dilancarkan dan apakah spesifikasi penuh peranti ini. Sama-sama kita nantikan.