Dua peranti baharu Samsung Galaxy A55 5G dan Galaxy A35 5G akan ditawarkan secara rasminya di Malaysia bermula 22 Mac 2024. Melalui kenyataan media yang dikeluarkan Samsung hari ini, kedua-dua peranti tersebut akan disediakan melalui mana-mana kedai dan pengedar sah mereka di seluruh Malaysia. Tiada maklumat mengenai harga yang dikongsi setakat artikel ditulis namun kami akan berkongsi selepas didedahkan kelak.

Samsung Galaxy A55 5G menggunakan skrin Super AMOLED 6.6″ dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Pada masa sama, paparan menyokong teknologi Vision Booster yang boleh menyesuaikan kecerahan dengan keadaan sesama. Selain itu cip lapan teras juga digunakan dengan memori 12GB RAM dan storan 256GB sebagai tunjang utama. Diikuti dengan bateri 5,000mAh yang boleh dicas melalui port USB-C dan pengecasan 25W. Turut diberikan ialah kamera utama 50MP (utama) dengan OIS + 12MP (ultra-lebar) + 5MP (makro) dan swafoto 32MP sebagai pelengkap peranti ini.

Samsung Galaxy A35 5G juga dilengkapi skrin Super AMOLED FHD+ 6.6″ dengan kadar segar semula 120Hz dan teknologi Vision Booster. Diikuti pula cip lapan teras yang menggabungkan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB untuk tunjang utama. Sementara itu bateri pula sebesar 5,000mAh yang menyokong pengecasan 25W. Kamera utama 50MP + 8MP + 5MP dan swafoto 13MP dilihat turut melengkapi peranti ini.

Kedua-duanya menjalankan pelancar baharu One UI 6.0 berasaskan Android 14. Dalam masa sama diberi kemaskini sekuriti lebih baik melalui sokongan Samsung Knox Vault yang boleh melindungi data daripada pelbagai serangan siber, di samping akses kepada Security & Privacy Dashboard yang membolehkan kawalan dibuat pada peranti termasuk akses kebenara pada sesuatu aplikasi.