Cari @ Amanz

Apple dilaporkan telah mengambil alih firman kecerdasan buatan DarwinAI. Syarikat ini terlibat dalam penghasilan teknologi memeriksa komponen ketika proses pengilangan dan menghasilkan sistem AI yan lebih efisien dan bersaiz kecil.

Sejurus selepas DarwinAI diambil alih, laman web serta kesemua akaun media sosial syarikat telah dinyahaktifkan. Kakitangan pula telah berpindah ke Apple sementara penyelidiknya Alexander Wong menyertai bahagian AI Apple sebagai pengarah. Pengambilalihan ini dilihat sebagai usaha Apple untuk mempercepatkan proses integrasi kemampuan AI pada iOS 18 yang akan diumumkan tahun ini.

Tim Cook sebelum ini berkata iOS 18 akan membawakan perubahan paling besar pada sistem operasi dibantu dengan beberapa ciri AI. Tahun ini kita sudah dapat melihat bagaimana penggunaan sistem AI pada peranti Android mampu memberikan pengalaman yang menakjubkan. Kesemua pengeluar utama peranti Android telahpun mengintegrasikan AI pada peranti yang selama ini dianggap sebagai fiksyen.

Walaupun Apple berjaya menjadi pengeluar telefon pintar terbesar dunia tahun lalu, ketiadaan sistem AI setakat ini boleh dilihat sebagai satu kekurangan. Ini tidak dibantu oleh Siri yang saban tahun kemampuannya semakin ketinggalan jika dibandingkan dengan Google Gemini. Apakah agaknya ciri AI. yang akan diperkenalkan pada iOS 18? Kita hanya perlu menanti acara WWDC beberapa bulan sahaja lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd