Cari @ Amanz

Saban hari ada sahaja laporan kes penipuan di mana maklumat perbankan dikutip menerusi laman web palsu dengan rekaan laman web sebenar. Proses mengenalpasti laman web palsu ini semakin sukar kerana skrin peranti yang kecil dan kita kini jarang sekali melihat URL dengan teliti. Menyedari hakikat ini, Google Chrome memperkenalkan ciri keselamatan baharu yang menghalang laman web berbahaya secara masa nyata.

Ciri Google Safe Browing pada Chrome sudah diperkenalkan sejak 15 tahun yang lalu dengan ia memantau 10 bilion URL setiap hari. Tetapi sistem ini mengemaskini senarai laman berbahaya setiap 30-60 minit. Dalam tempoh masa ini, pasti ada laman web penipuan yang terlepas daripada senarai dan bersedia menari mangsa. Kini Google Safe Browsing dipertingkatkan dengan pemantauan secara masa nyata (real time) yang lebih selamat.

Chrome akan melihat senarai laman yang sudah disahkan selama sebelum ini pada peranti pemilik. Apabila mengesan URL baharu yang tidak dikenali, ia akan dibandingkan dengan senarai laman yang selamat pada pangkalan data atas talian Google. Jika ia didapati berbahaya, amaran akan diberikan kepada pengguna dan URL akan dihalang.

Ciri Google Safe Browing masa nyata ini boleh digunakan pada Chrome versi desktop dan iOS. Peranti Android pula akan menerimanya pada bulan depan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd