Qualcomm Snapdragon 8s Gen 3 telah dilancarkan secara rasmi hari ini sebagai cip mercu yang lebih mampu milik berbanding Snapdragon 8 Gen 3 yang digunakan pada peranti seperti Xiaomi 14, Samsung Galaxy S24 Ultra dan OnePlus 12. Perbezaan pada cip ini terletak pada konfigurasi teras, kemampuan kamera dan juga modem yang digunakan.

Snapdragon 8 s Gen 3 menggunakan penggunaan lapan dengan konfigurasi kluster 1+4+3 CPU Kryo serta GPU Adreno yang terkini. Teras utama CPU Cortex-X4 berfungsi pada kelajuan 3.0 GHz, 4x CPU Cortex-A720 2.8 GHz, dan 3x CPU Cortex-A520 pada kelajuan 2.0 GHz.
Ini berbeza dengan Snapdragon 8 Gen 3 yang menggunakan konfigurasi kluster 1+5+2 CPU Kryo yang terdiri daripada CPU Cortex-X4 berfungsi pada kelajuan 3.3GHz, 3x CPU Cortex-A720 3.2GHz, 2x CPU Cortex-A720 3.0 GHz dan 2x CPU Cortex-A520 pada kelajuan 2.3 GHz.

Sistem modem pula sekadar Snapdragon X70 5G yang menyokong muat turun sehingga 5Gbps bukannya Snapdragon X75 5G yang lebih pantas sehingga 10 Gbps. Sungguhpun begitu peranti yang menggunakan 8s Gen 3 masih menyokong WiFi 7. Satu lagi perbezaan yang ketara ialah kemampuan rakaman video juga lebih rendah sehingga 4K 60FPS sahaja.

Bercakap mengenai kemampuan grafik, Qualcomm berkata mereka menyasarkan prestasi seakan konsol menerusi sokongan Ray Tracing dan Snapdragon Elite Gaming. Penekanan kepada kemampuan kecerdasan buatan (AI) sama sahaja degan ia boleh menjalankan model seperti Baichuan-7B, Llama 2 dan Gemini Nano.
Honor, iQOO, Realme, Redmi dan Xiaomi adalah lima syarikat terawal yang akan menggunakan Snapdragon 8s Gen 3 pada peranti keluaran mereka. Peranti terawal dengan Snapdragon 8s Gen 3 akan diumumkan seawal bulan ini.