TikTok kini telah menambah sebuah ciri baharu dinamakan “Offline Videos”, yang mana membolehkan anda memuat-turun sejumlah video secara rawak, untuk ditonton ketika dalam mod luar-talian.
Dengan langkah ini, ia sekaligus membolehkan anda terus menggunakan TikTok, walaupun tidak mempunyai akses internet. Mengikut tetapan yang disediakan, pengguna boleh lakukan muat-turun video antara 50 video ke 200 video, dengan masa tontonan mencapai 120 minit.
TikTok turut memperlihatkan jumlah data yang akan digunakan pada peranti ketika kandungan dimuatkan. Kandungan juga akan dikemaskini secara automatik apabila anda berhubung ke rangkaian internet.
Ciri ini mungkin sangat berguna kepada anda yang kekal ingin menggunakan TikTok ketika dalam perjalanan – sebagai contoh ketika menaiki kapal terbang yang membuatkan sambungan terputus.