Carian
Ulasan Xiaomi 14 Ultra – Kamera Leica Paling Mampu Milik
April 5, 2024 Effi Saharudin

Tahun kedua Xiaomi dan Leica bergabung bagi menghasilkan telefon pintar dengan kemampuan kamera digital yang menakjubkan. Tahun ini perubahan dilakukan pada cip pemproses dan lensa. Adakah perubahan kecil yang dilakukan mencukupi atau isu tahun lalu berulang kembali? Ini ulasan penuh saya untuk Xiaomi 14 Ultra.

SPESIFIKASI

Xiaomi 14 Ultra
Skrin6.73″ LTPO AMOLED,
WQHD+, 120Hz, Dolby Vision
PemprosesSnapdragon 8 Gen 3 (4nm)
Cip1 x 3.3 GHz Cortex-X4
3 x 3.2 GHz Cortex-A720
2 x 3.0 GHz Cortex-A720
2 x 2.3 GHz Cortex-A520
Cip GrafikAdreno 750
RAM16GB LPDDR5X
Muatan Dalaman512GB UFS 4.0
Kamera Utama50MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar)
50MP f/1.8, (Ultra Sudut Lebar)
50MP f/1.8, OIS (Telefoto 3.2X)
50MP f/2.5, OIS (Telefoto 5X)
3D ToF
Kamera Swafoto32 Megapixel f/2.0
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 90W
Pengecasan nirwayar 80W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 5199 (16/512GB)

SKRIN

Ramai yang merungut Apple dan Samsung gemar mengitar semula rekaan peranti tahun lalu untuk model tahun ini. Xiaomi melakukannya sedikit tahun ini dengan skrin masih lagi 6.73″ WQHD+ LTPO AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz. Panel tahun ini mencapai kecerahan maksimum 3000 nits yang lebih tinggi berbanding 2600 nits tahun lalu.

Skrin adalah cantik dengan paparan warna yang jitu serta boleh dipandang dari pelbagai sudut tanpa sebarang isu. Menatal terasa pantas dan pengesanan sentuhan juga amatlah baik. Begitu juga dengan sistem haptik yang terasa sangat realistik. Kandungan HDR dengan format HDR10+ dan Dolby Vision juga boleh dipaparkan tanpa sebarang isu. Netflix, Prime, Disney+ Hostar dan YouTube kesemuanya boleh dimainkan pada kualiti tertinggi.

BIOMETRI

Pengimbas cap jari bawah skrin adalah dari jenis optikal tetapi masih lagi pantas. Nyahkunci menggunakan wajah juga tidak kurang hebatnya. Secara keseluruhan sistem biometri pada 14 Ultra adalah sebaik pada peranti mercu lain di pasaran sekarang.

REKAAN

Perubahan ketara tahun ini terletak pada panel belakang yang kini rata dan tidak lagi mempunyai dua tingkat berbeza untuk bonggol kamera yang besar. Bonggol kamera berbentuk bulat masih wujud tetapi dengan panel belakang yang rata, ia terasa lebih senang untuk dipegang. Panel ini juga mempunyai kemasan kulit vegan yang kasar. Tekstur ini membuatkan 14 Ultra sangat selesa dipegang lebih-lebih lagi ketika mengambil gambar.

Ini adalah penting kerana 14 Ultra adalah peranti yang berat di bahagian atas. Bonggol kamera besar yang saya sebutkan di atas membuatkan ia kerap ingin terjatuh. Saya perlu meletakkan jari lebih tinggi di belakang untuk mengelakkan ia berputar dan jatuh ke bawah secara tidak sengaja. Ini juga menyebabkan jika saya ingin mengambil gambar secara menegak, jari kerap menghalang lensa.

Saya perlu belajar semula memegang telefon dengan 14 Ultra kerana bahagian atas yang lebih berat daripada biasa. Fahim yang mengulas 13 Ultra tahun lalu juga berkata ini adalah isu yang beliau hadapi tahun lalu.

Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan. Ianya semua tegap dan mudah diakses. Di bahagian atas terdapat satu lubang speaker dan tiada pemancar IR. Agak canggung melihat peranti Xiaomi yang tiada ciri ini kerana selama ini mereka yang tegar mengekalkannya. Kemudian di bawah terdapat talam SIM, bicu pengecas USB-C dan satu lagi butang speaker

Tubuh melepasi piawaian IP68 makan pemilik tidak perlu risau ia dibasahi hujan atau apabila air tertumpah ke atasnya ketika berhari raya kelak. Dari segi rekaan ia adalah peranti yang cantik tetapi mempunyai isu kurang seimbang yang membuatkan ianya sedikit menakutkan sekiranya digunakan tanpa sebarang kerangka. Panel kaca yang besar pada permukaan kamera adalah terdedah kepada kerosakan jika peranti terjatuh.

Dengan bonggol yang amat besar ini, isu biasa tidak boleh diletakkan rata di atas meja adalah norma harian. Penggunaan kerangka tidak dapat mengurangkan isu ini. Maka biasakan diri dengan peranti dengan rekaan kurang konvensional ini.

PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Sistem operasi HyperOS 1.0.5.0 berasaskan Android 14 digunakan pada peranti ini. Ini ialah permulaan baharu daripada Xiaomi untuk meninggalkan MIUI yang digunakan selama ini. Permulaan dimulakan dengan baik kerana ia adalah sistem operasi yang terasa lebih ringan dan lancar berbanding MIUI. Tiada lagi isu iklan yang muncul secara tiba-tiba apabila aplikasi dipasang atau ketika menggunakan aplikasi Xiaomi.

Animasi skrin kunci misalnya nampak sangat mantap lebih-lebih lagi jika imej latar dinamik digunakan. Bermula dengan imej planet bumi atau Marikh, anda akan dibawa terus ke permukaan bumi yang menjadi imej latar. Terdapat pelbagai pilihan landskap yang menakjubkan.

Ini dibantu oleh saiz RAM asas 16GB LPDDR5X yang boleh ditingkatkan sehingga 24GB secara maya menggunakan ciri Memory Extension. Ia boleh dimatikan jika tidak diperlukan. Sepanjang tempoh ulasan saya hanya mengaktifkan 4GB RAM maya dan peranti masih terasa amat responsif.

Walaupun semua ini amat bagus, saya tidak boleh memaafkan 14 Ultra kerana tidak mempunyai sebarang kemampuan AI terbina. Ini adalah ciri yang wujud pada model di China tetapi belum lagi pada peranti global. Pada tahun 2024 kemampuan AI adalah sesuatu yang perlu maka ketiadaannya membuatkan perisian 14 Ultra terasa sedikit ketinggalan berbanding pesaing. Sehingga kini bila kemas kini ciri AI akan diterima oleh pemilik siri Xiaomi 14 di Malaysia masih menjadi misteri.

Bercakap mengenai perisian, Xiaomi 14 Ultra juga “sekadar” menerima empat versi Android dan lima tahun tampalan sekuriti. Saya letakkan sekadar di sini kerana Samsung, Google dan Apple menawarkan sokongan kemas kini yang lebih lama. Pixel dan Galaxy S24 misalnya disokong selama 7 tahun. Bagi sebuah peranti mercu moden, sokongan perisian jangka panjang juga kini dilihat sebagai satu keperluan.

PENANDA ARAS – Snapdragon 8 Gen 3

Dengan Snapdragon 8 Gen 3, 14 Ultra dilengkapi “enjin” yang cukup berkuasa untuk menjalankan pelbagai aplikasi, permua dan juga ciri AI yang akan tiba. Saya bandingkan 14 Ultra dengan peranti-peranti mercu berikut – Samsung Galaxy S24 Ultra (Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy), Honor Magic6 Pro (Snapdragon 8 gen 3). Vivo X100 Pro (Dimensity 9300), iQOO 12 (Snapdragon 8 Gen 3), Galaxy S24+ (Exynos 2400), iPhone 15 Pro Max (A17 Pro) dan iPhone 14 Pro Max (A16 Bionic).

Geekbench 6

  1. Xiaomi 14 Ultra – 2221/6632
  2. Samsung Galaxy S24 Ultra – 2278/7016
  3. Honor Magic6 Pro – 1362/4677
  4. Samsung Galaxy S24+ – 1539/6510
  5. iQOO 12 – 2181/6631
  6. Vivo X100 Pro – 2071/5032
  7. Apple iPhone 15 Pro Max – 2873/7228
  8. Apple iPhone 14 Pro Max – 2640/6820

AnTuTu 3D

  1. Xiaomi 14 Ultra – 2,000,434
  2. Samsung Galaxy S24 Ultra – 1,768,765
  3. Honor Magic6 Pro – 1,366,519
  4. Samsung Galaxy S24+ – 1,643,090
  5. iQOO 12 – 2,075,821
  6. Vivo X100 Pro – 1,852,552
  7. Apple iPhone 15 Pro Max – 1,523,961
  8. Apple iPhone 14 Pro Max – 1,455,773

3DMark Wild Life Extreme

  1. Xiaomi 14 Ultra – 4717
  2. Samsung Galaxy S24 Ultra – 4657
  3. Honor Magic6 Pro – 2,492
  4. Samsung Galaxy S24+ – 2813
  5. iQOO 12 – 5045
  6. Vivo X100 Pro – 4067
  7. Apple iPhone 15 Pro M – 3695
  8. Apple iPhone 14 Pro Max – 2727

14 Ultra beroperasi sebaik peranti mercu lain dengan cip Snapdragon 8 Gen 3. Kesemuanya berjalan dengan lancar. Pemasangan aplikasi sepantas kilat. Tidak ada perkara negatif boleh saya katakan mengenai prestasi 14 Ultra. Pelbagai permua moden juga boleh dijalankan pada tetapan yang tertinggi. Walaupun direka sebagai sebuah kamera digital Leica dengan kemampuan telefon pintar, 14 Ultra juga beroperasi dengan cemerlang sebagai sebuah konsol mudah alih.

TELEFONI Dan GPS

Tiada sebarang isu dengan rangkaian telefoni 5G di Malaysia serta terdapat sokongan WiFi 7 yang amat pantas. Kedudukan kami juga boleh dijejak dengan tepat dan pantas. Sebagai sebuah telefon mudah alih 14 Ultra berfungsi dengan cukup memuaskan. Kekurangan pada hemat saya ialah ia peranti mercu mahal yang masih tidak mempunyai sokongan eSIM. Hanya dua SIM nano fizikal disokong secara serentak.

KAMERA

Kamera utama menggunakan konfigurasi lensa sudut lebar 50MP bersaiz 1″, ultra sudut lebar 50MP, telefoto 5X 50MP dan telefoto 3.2X 50MP. Di hadapan kamera swafoto 32MP digunakan. Dia atas kertas tiada perbezaan pada sistem kamera kerana sensor masih lagi bersaiz sama. Tetapi perubahan dilakukan pada lensa Leica tahun ini yang lebih baik.

Kemampuan fotografi kamera ini adalah amat memuaskan lebih-lebih lagi jika anda mahukan imej seakan kamera digital Leica. Mod Leica Vibrant dan Leica Authentic boleh digunakan. Perbezaan adalah Leica Vibrant menawarkan gambar dengan warna yang lebih terang sementara Authentic menawarkan gambar yang nampak lebih gelap.

Mod Leica tidak boleh dimatikan sepenuhnya. Walaupun terdapat penuras untuk “Normal”, saya menyedari gambar yang terhasil sama sahaja dengan Leica Authentic. Dalam mod Pro juga ini berlaku. Setiap gambar telah menjalani pasca proses membuatkan ianya berbeza dengan keadaan sebenar.

Jadi adakah kamera 14 Ultra bagus? Bagus sekiranya anda memang ingin mengambil gambar yang nampak sinematik dengan warna yang lebih terang berbanding dunia sebenar. Tetapi saya juga menyedari terdapat pengguna yang ingin mengambil gambar yang kelihatan asli. Jika anda jatuh dalam kategori ini, kamera 14 Ultra mungkin tidak selari dengan jiwa anda.

1x
5x
10x
30x

BATERI

Walaupun bateri 5000 mAh digunakan, hayat penggunaan 14 Ultra adalah lebih rendah jika saya bandingkan dengan S24 Ultra dengan kapasiti bateri yang sama. Secara lazim saya mendapat sekitar 7-8 jam SOT dalam penggunaan sederhana dan ia bertahan sehingga 16 jam. Sebelum ingin tidur bateri 14 Ultra hampir nazak memerlukan pengecasan dilakukan. Pada S24 Ultra dengan penggunaan yang sama saya masih mempunyai sehingga 25% bateri. 14 Ultra lebih dahagakan bateri.

Ia semakin ketara jika saya mengambil gambar. Bateri akan surut lebih pantas. Saya mampu menghabiskan kesemua 1500 mAh pada aksesori Camera Grip dalam masa kurang satu jam. Xiaomi perlu menambahbaik perisian kerana prestasi bateri 14 Ultra tidak sebaik pesaing yang lain. Nasib baik ia boleh dicas semula dalam masa sekitar 35 minit menggunakan pengecas 90W yang diberikan.

AUDIO

Terdapat sepasang speaker stereo dengan Dolby Atmos. Sistem speaker adalah seimbang kerana audio ditembak ke sisi pada bahagian atas dan bawah. Keseimbangan ini saya sedari adalah kebiasaan pada peranti dari China. Peranti barat masih menggunakan speaker atas yang menembak ke depan. Audio lantang tetapi masih jelas. Kekurangan hanyalah jika sedang bermain permua, tangan akan kerap menutup lubang speaker.

PESAING

Xiaomi 14 UltraSamsung Galaxy S24 UltraApple iPhone 15 Pro Max
6.73″ LTPO AMOLED, 1440 x 3200, 120Hz, Dolby Vision6.8″ Dynamic AMOLED 2X, 2800 x 1260,
120Hz, HDR10+
6.7″ OLED, 2800 x 1260,
120Hz, Dolby Vision
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm)
1 x 3.3 GHz Cortex-X4
3 x 3.2 GHz Cortex-A720
2 x 3.0 GHz Cortex-A720
2 x 2.3 GHz Cortex-A520
Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy (4nm)
1 x 3.39 GHz Cortex-X4
3 x 3.1 GHz Cortex-A720
2 x 2.9 GHz Cortex-A720
2 x 2.2 GHz Cortex-A520
Apple A17 Pro (3nm)
2x 3.78 GHz
4x 2.11 GHz
Adreno 750Adreno 750Apple GPU
16GB LPDDR5X
12GB LPDDR5X8GB LPDDR5X
512 UFS 4.0256/512/1000GB UFS 4.0245/512GB/1000 NVMe
Kamera Utama
50MP f/1.6-f/4.0, 1″, OIS (Sudut Lebar)
50MP f/1.8 (Ultra Lebar)
50MP f/2.5, OIS, 5x Zum Optikal (Periskop Telefoto)
50MP f/1.8, OIS 3.2x Zum Optikal (Telefoto)
Kamera Utama
200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Lebar)
50MP f/3.4, OIS, 5x Zum Optikal (Periskop Telefoto)
10MP f/2.4, OIS 3x Zum Optikal (Telefoto)
Kamera Utama
48MP f/1.8 OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Lebar)
12MP f/2.8 OIS, 5x Zum Optikal (Periskop Telefoto)
Kamera Hadapan
32-MP f/2.0
Kamera Hadapan
12-MP f/2.2
Kamera Hadapan
12-MP f/1.9
IP68IP68IP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh
Berwayar 90W
Nirwayar 80W
5000 mAh
Berwayar 45W
Nirwayar 15W
4441 mAh
Berwayar 25W
Nirwayar 15W
RM 5,199 (16/512 GB)
RM 6,299 (16/256 GB)
RM 6,799 (16/512 GB)
RM 7,799 (16/1000 GB)
RM 6,499 (8/256 GB)
RM 7,499 (8/512 GB)
RM 8,499 (8/1000 GB)

APA ADA DALAM KOTAK?

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Xiaomi 14 Ultra
  • 1x Kerangka lutsinar.
  • 1x Pengecas dwi-pin 90W.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Perkara positif yang saya boleh katakan mengenai Xiaomi 14 Ultra ialah ia peranti yang cukup premium daripada Xiaomi. Tiada isu kualiti binaan ataupun rekaan yang nampak ketinggalan. Sejak kebelakangan ini Xiaomi berjaya membina imej sebagai pengeluar peranti Android yang berkualiti. Prestasi kameranya juga cemerlang dengan gambar cantik boleh diambil walaupun anda bukan seorang pakar fotografi. Isu pada perisian MIUI yang penuh pepijat dan iklan juga tidak lagi berlaku dengan HyperOS.

Tetapi saya mempunyai isu dengan kamera yang sering dalam mod Leica sepanjang masa. Tiada pilihan mematikannya untuk mengambil gambar dalam mod automatik maupun Pro. Kesemua gambar jelas menjalani pasca proses sehingga berbeza dengan realiti. Bateri juga kurang tahan lama walaupun sama sahaja dengan pesaing di pasaran. Akhir sekali masih tiada sebarang ciri AI yang diberikan pada versi China pada ketika ini.

Di Malaysia Xiaomi 14 Ultra dijual pada harga RM5199 untuk 16/512GB. Tiada model lain ditawarkan. Pada harga ini saya boleh memaafkan beberapa kekurangan yang ada kerana ia lebih murah berbanding Galaxy S24 Ultra dan iPhone 15 Pro Max. Jika anda mahu berjinak-jinak dengan peranti Xiaomi dengan kamera Leica, 14 Ultra ialah pilihan terbaik di pasaran pada waktu ini.

Pro

  • Rekaan tubuh yang premium.
  • HyperOS tidak mempunyai isu seperti MIUI.
  • Sistem kamera yang cukup berkuasa dan mantap.
  • Pengecasan yang cukup pantas.
  • Audio seimbang.
  • Kalis air IP68.

Kontra

  • Tubuh tidak seimbang dengan bonggol kamera terlalu besar.
  • Hayat bateri tidak begitu lama.
  • Ciri AI masih tiada pada versi global.

Komen