Apple Dalam Perbincangan Bersama Google Untuk Penyertaan Google Gemini Pada iPhone
Aman
Apple kini dilaporkan dalam perbincangan bersama Google, untuk menyertakan enjin kecerdasan buatan Google Gemini secara terbina pada iPhone. Sekiranya perbincangan ini membuahkan hasil, kita akan melihat salah satu kerjasama yang sangat besar dalam arena kecerdasan buatan pada tahun ini.
Ia dikatakan perbincangan antara Apple dan Google sedang giat berlaku, sekaligus akan turut menguasakan sejumlah ciri baharu pada iPhone tahun ini. Untuk makluman, kedua-dua syarikat ini sedia bekerjasama dalam arena enjin carian, dan kerjasama melibatkan kecerdasan buatan ini dijangka merupakan peluasan daripada kerjasama sedia ada.

Sebelum ini, Apple dikatakan sedia membangunkan dan mengintegrasikan ciri baharu berasaskan kecerdasan buatan janaan pada iOS 18. Apple sedia membangunkan sejumlah penyelesaian sendiri, tetapi ia dikatakan masih jauh jikalau dibandingkan dengan penyedia sedia ada seperti Google Gemini.
Selain Google, Apple dikatakan turut berbincangan dengan beberapa pihak lain, termasuk OpenAI. Buat masa ini, Apple dan Google masih tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan perkara ini.
Pada awal tahun ini, Samsung sedia mengumumkan integrasi ciri-ciri berasaskan kecerdasan buatan pada telefon pintar Galaxy S24 mereka, dikuasakan Google. Disamping Samsung, beberapa pengeluar telefon pintar turut telah mula melakukan perkara sama, sekaligus memberikan lebih tekanan kepada Apple dalam memperkenalkan integrasi kecerdasan buatan ini.