Cari @ Amanz

Pemandu teksi di Australia boleh bersorak kegembiraan selepas Uber bersetuju menyelesaikan kes saman kumpul yang difailkan sekumpulan pemandu teksi di luar mahkamah. Saman difailkan pada tahun 2019 tetapi beberapa minggu sebelum kes dibicarakan Uber bersetuju membayar AUD 272 juta (~RM843 juta) sebagai pampasan kepada pemandu teksi yang terjejas.

Uber memulakan operasi mereka di Australia pada tahun 2014. Sejak dari awal ia menerima bantahan pemandu teksi yang mengatakan operasi Uber tidak berlesen dan menggunakan pemandu yang tidak bertauliah. Akibatnya pemandu teksi yang perlu berbelanja tinggi untuk beroperasi mengalami kerugian yang besar.

Wang pampasan hampir RM 1 bilion ini akan diagihkan kepada lebih 8000 pemandu teksi yang terlibat dalam saman kumpul yang difailkan. Nasib Uber tidak seperti sedekad yang lalu dengan operasi mereka semakin mengecil akibat kerugian yang meningkat. Inisiatif membangunkan teksi robot terhenti begitu juga dengan teksi terbang. Di beberapa pasaran perniagaan mereka diambil alih pesaing seperti Grab.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd