Carian
Siri Infinix Note 40 Kini Rasmi – Cip Dimensity 7020 Dan Pengecasan Pantas 100W
March 18, 2024 Amy Maizuraa

Empat peranti baharu Infinix Note 40 Pro+ 5G, Note 40 Pro 5G, Note 40 Pro 4G dan Note 40 dilancarkan secara rasmi sebentar tadi. Menerusi generasi kali ini, Infinix memfokuskan peranti-peranti tersebut dengan fungsi lebih kompetitif dalam memastikan pengalaman pengguna yang baik. Selain turut membawa nafas baharu untuk peranti pintar kelas pertengahan.

Infinix Note 40 Pro+ 5G dan Note 40 Pro 5G menampilkan skrin AMOLED 6.78-inci FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Selain itu peranti turut dilengkapi cip MediaTek Dimensity 7020 dengan sehingga 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Tetapan kamera pula terdiri dengan 108MP (OIS) + 8MP + 2MP untuk utama dan swafoto sebesar 32MP.

Kelebihan boleh dilihat pada bateri 4,600mAh pada Note 40 Pro+ 5G yang boleh dicas secara berwayar 100W dan nirwayar 20W. Sementara itu, peranti Note 40 Pro 5G pula menggunakan bateri 5,000mAh dengan pengecasan 45W.

Seterusnya Infinix Note 40 Pro 4G dan Note 40 4G pula menggunakan skrin 6.78-inci AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Cip MediaTek Helio G99 Ultimate disertakan sebagai tunjang utama dengan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman 256GB.

Kapasiti bateri pula sebesar 5,000mAh yang menyokong pengecasan 70W (Note 40 Pro 4G) dan 45W untuk Note 40 4G. Melengkapi peranti ialah kamera utama 108MP (OIS) + 2MP + 2MP dan kamera swafoto 32MP di hadapan.

Pengecasan pantas peranti ini dikuasai cip Cheetah X1 yang menggabungkan tiga modul berkuasa seperti All-round Support Module yang boleh mengendali sehingga lapan senario pengecasan yang termasuk mod khas untuk pengecasan waktu malam dan suhu melampau.

Selain itu, ia juga dilengkapi Power Monitor Module untuk mengesan arus dan voltan dalam masa nyata. Akhir sekali, Safety Module pula mengintegrasikan 63 langkah pelindungan dalam hampir semu senario pengecasan.

Tambahan seterusnya ialah ciri dipanggil Active Halo yang mengintegrasikan arahan suara dengan kesan pencahayaan AI. Ia boleh diaktifkan sebagai tindak balas kepada pelbagai fungsi seperti panggilan masuk, pemberitahuan, main balik audio, proses pengecasan dan menyeru pembantu maya. Dari segi audio kesemua peranti mempunyai pembesar suara JBL, NFC, pemancar merah dan kalis air IP53/54. Sistem operasi pula adalah Android 14 berasaskan XOS 14.

Tiada maklumat mengenai harga didedahkan buat masa ini tetapi ia akan dilakukan oleh Inifinix Malaysia dalam masa terdekat.

Komen