Pengering Rambut Dyson Kini Hadir Dengan Ciri Perlindungan Kulit Kepala dan Rambut
Effi Saharudin
Dyson Supersonic Nural dilancarkan semalam sebagai pengering rambut paling pintar pernah dihasilkan. Ia mengesan suhu sepanjang masa bagi mengelakkan rambut atau kulit kepala terbakar semasa menggunakannya. Ini ialah isu yang biasa dihadapi oleh pengguna sejak pengering rambut dicipta oleh Alexandre Ferdinand Godefroy pada tahun 1888.

Setiap Supersonic Nural dilengkapi sensor Nural yang mengesan jaraknya dengan kulit kepala pengguna menerusi teknologi ToF. Apabila dikesan jarak terlalu hampir dengan rambut dan kulit kepala, suhu udara akan dikurangkan ke 55°C. Ini bukan sahaja mengelakkan kecederaan tetapi memastikan kesihatan kulit kepala kerana tidak kehilangan kelembapan yang diperlukan.

Terdapat lampu LED pada pengering rambut yang memberitahu pengguna suhu udara yang dihembus. Biru untuk sejuk dan merah pula untuk panas. Ciri pintar lain yang menarik ialah apabila Supersonic Nural diletakkan ke bawah, ia akan dimatikan secara automatik tanpa perlu menekan sebarang butang. Tambahan lagi, setiap sambungan aksesori juga akan mengaktifkan tetapan khusus untuk digunakan pada suhu yang betul.
Satu lagi ciri menarik pengering rambut ini ialah ia mengingati tetapan kali terakhir ia digunakan. Oleh itu pemilik tidak perlu menghabiskan masa mengubahkan setiap kali digunakan. Harga jualan belum diumumkan pada waktu ini.