Carian
Puasa Berjeda Meningkatkan Risiko Kematian Penyakit Kardiovaskular Sehingga 91%
March 19, 2024 Effi Saharudin

Amalan puasa berjeda (intermittent fasting) amat popular sekarang dengan pengamalnya mengatakan tubuh menjadi semakin sihat dan berat badan dapat dikurangkan. Tetapi kajian terkini dari penyelidik di Shanghai Jiao Tong University School of Medicine mendapati amalan ini mungkin meningkatkan risiko kematian menerusi penyakit kardiovaskular sehingga 91%.

Kertas kajian yang akan dibentangkan di acara American Heart Association minggu ini mendapati risiko kematian menerusi penyakit kardiovaskular meningkat di kalangan 20,000 responden yang menghadkan pemakanan dalam tempoh 8 jam sehari berbanding mereka yang makan dalam tempoh 12-16 jam sehari.

Turut didapati ialah mereka yang mempunyai penyakit kardiovaskular, puasa berjeda meningkatkan risiko kematian disebabkan strok dan penyakit jantung sehingga 66%. Tiada perkaitan ditemukan antara puasa berjeda dan pengurangan risiko kematian dalam apa juga sebab. Walau bagaimanapun makan dalam tempoh melebihi 16 jam sehari didapati mengurangkan risiko kematian di kalangan pesakit kanser.

Penyelidik menyedari terdapat kekurangan dalam kajian di mana maklumat mengenai diet dilaporkan sendiri oleh peserta yang boleh memberikan data pemakanan yang kurang tepat. Faktor lain yang boleh mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan di luar parameter ujian juga tidak direkodkan. Oleh itu kajian lebih terperinci dalam mekanisme biologi dan hubungannya dengan puasa berjeda perlu dilakukan untuk mengesahkan lagi data kajian yang dilakukan ini.

Sebagai kesimpulan penyelidik mengatakan puasa berjeda memberikan impak yang baik jangka pendek tetapi mendatangkan kesan jangka panjang yang buruk ke atas tubuh. Sebelum ini kami telah melaporkan kajian mendapati puasa berjeda memberikan impak yang sama sahaja seperti diet biasa

Komen