Acer ialah syarikat perkomputeran yang cukup terkenal untuk penawaran komputer desktop dan komputer riba mereka juga kini memperkenalkan komponen-komponen kad grafik mereka sendiri berdasarkan penawaran daripada NVIDIA GeForce, AMD Radeon dan Intel Arc.
Terkini, Acer telah memperlihatkan penawaran kad grafik kelas premium pertama mereka yang berdasarkan kad grafik AMD Radeon RX 7900 GRE yang dilancarkan untuk pasaran China dan beberapa pasaran terpilih yang lain.
Dua kad grafik yang diperlihatkan ialah Acer RX 7900 GRE Predator dan Acer RX 7900 GRE Nitro yang tampil dengan spesifikasi yang hampir sama seperti kad grafik AMD Radeon RX 7900 XT/XTX, tetapi mempunyai jumlah Compute Unit dan memori GDDR6 yang sedikit lebih rendah.
Perbezaan dua kad grafik model Predator dan Nitro pula diperlihatkan dari segi penyejuk dan kipas yang digunakan. Model RX 7900 GRE Predator tampil dengan tiga kipas penyejukan, manakala model RX 7900 GRE Nitro menggunakan dua kipas penyejukan. Kedua-dua kad grafik ini dilihat menggunakan dua palam kuasa PCIe 8-pin untuk menguasakan kad grafik ini, yang dilihat akan memakan 260W kuasa elektrik.
Produk-produk ini dilihat baru memasuki laman web Acer di China, tetapi setakat ini ia tidak diketahui lagi samada kad grafik ini akan mula dijual kerana tanda harganya masih belum diumumkan. Samada kad grafik ini akan dijual di pasaran selain daripada China juga tidak diketahui lagi.