Steam akan memperkenalkan ciri yang memudahkan perkongsian permainan video di kalangan ahli keluarga. Menerusi ciri Steam Families, enam akaun Steam boleh diletakkan di dalam satu kumpulan keluarga. Kesemua permainan yang dibeli oleh ahli keluarga boleh dimainkan oleh sesiapa sahaja dalam kumpulan keluarga yang sama tetapi tidak boleh secara serentak.

Ketua keluarga Steam Families juga boleh mengawal permainan apa yang boleh dimainkan setiap ahli, mengawal pembelian dan juga menapis kandungan yang mungkin dirasakan tidak sesuai. Jika satu sahaja permainan dibeli, ia hanya boleh dimainkan oleh seorang sahaja ahli pada satu-satu masa. Untuk permainan multi-pemain misalnya, lebih daripada satu unit permainan perlu dibeli.
Ahli keluarga Steam Families hanya boleh diubah sekali setahun. Ciri ini masih dalam fasa ujian tetapi pengguna boleh mencubanya dengan mengaktifkan Steam Family Beta hari ini menerusi Steam Beta Client hari ini.