Cari @ Amanz

Beberapa tahun yang lalu Tentera Amerika Syarikat mula menggunakan sistem optik Smart Shooter yang melakukan perkiraan bagi pihak infantri untuk melakukan tembakan yang tepat. Ia seakan sistem aimbot tetapi digunakan di dunia sebenar. Kini sistem Smart Shooter rekaan Israel ini juga mula digunakan oleh anggota pasukan payung terjun British. 

Sistem optik SMASH X4 yang digunakan ialah versi terkini dihasilkan oleh Smart Shooter. Kementerian Pertahanan United Kingdom menganugerahkan kontrak bernilai £4.6 juta (~RM27 juta) untuk membeli 225 unit Smash X4 yang dipadakan kepada raifal L85A3. Kontrak turut mempunyai klausa untuk membekalkan SMASH X4 untuk kegunaan anggota Tentera Laut Diraja dan Tentera Udara Diraja UK.

Setiap SMASH X4 dilengkapi komputer yang mengambil kira jarak sasaran, tekanan udara, suhu dan arah angin untuk memberikan saranan di mana senjata perlu ditujukan bagi menembak dengan tepat. Tentera UK membeli sistem optik ini khusus untuk kegunaan menembak dron.

Konflik Ukraine-Russia menunjukkan dron ialah musuh baharu untuk anggota infantri. Kerana saiznya yang kecil, dron amat sukar untuk ditembak jatuh. Dengan sistem optik berkomputer, tugas menembak dron diharap dapat dipermudahkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd