Carian
Pengasas DeepMind Dilantik CEO Microsoft AI
March 20, 2024 Effi Saharudin

Mustafa Suleyman yang merupakan pengasas bersama DeepMind telah dilantik sebagai CEO Microsoft AI. Pengumuman dilakukan Microsoft semalam dengan Suleyman akan melapor terus kepada Satya Nadella. Suleyman akan bertanggungjawab membangunkan ciri AI yang digunakan pada produk-produk seperti Copilot, Bing dan Edge.

Gambar – mustafa-suleyman.ai

Suleyman menubuhkan DeepMind bersama Demis Hassabis dan Shane Legg pada tahun 2010. Syarikat kemudiannya diambil alih oleh Google pada tahun 2014. Beliau meninggalkan DeepMind pada tahun 2022 untuk melancarkan syarikat rintis Inflection AI. Inflection AI menerima pelaburan yang besar daripada Microsoft tahun lalu dan kini nampaknya tampuk pimpinan diserap terus ke dalam syarikat.

Selain Suleyman, Microsoft turut mengumumkan ketua saintis Inflection AI, Karén Simonyan kini memegang jawatan sebagai ketua saintis di Microsoft AI. Beliau terlibat dalam beberapa projek besar seperti AlphaZero ketika masih bersama DeepMind.

Komen