Carian
MSI
MSI Melancarkan Monitor QD-OLED MPG Dan Siri MAG Baharu – Harga Bermula RM1,399
March 20, 2024 Fahim Zahar

MSI Malaysia hari ini telah melancarkan beberapa monitor gaming baharu bersama-sama dengan Sun Cycle selaku pengedar sah mereka. Terdapat lima monitor yang dilancarkan dan masing-masing mempunyai sistem penyejukan grafena. Selain itu, setiap monitor turut dengan MSI Gaming Intelligence AI untuk ciri seperti Smart Crosshair, Night Vision AI, Optix Scope dan banyak lagi.

MPG 491CQP QD-OLED

Monitor ini adalah pertama daripada MSI yang menggunakan saiz 49-inci dengan nisbah paparan 32:9 kerana ia adalah monitor melengkung pada kadar 1800R. Monitor ini turut menggunakan resolusi paling tinggi iaitu DQHD 5120×1440, menyokong kadar segar semula 144Hz, menerima pengiktirafan VESA untuk HDR400 dan juga CleanMR 13000. Memandangkan ini adalah monitor gaming, paparannya menyokong sela masa serendah 0.03ms GTG.

Untuk sambungan, MPG 491CQP QD-OLED dilengkapi dengan 1x DP 1.4a, 2x HDMI 2.1, 1x USB-C DP + PD 90W, 2x USB-A 2.0 (KVM), 1x USB-B dan 1x bicu audio 3.5mm. Monitor ini turut menggunakan kaki yang boleh laras ketinggian dari 0-100 mm, sudut pandangan boleh ubah dari -5 darjah ke 20 darjah dan monitor boleh dipusingkan dari -30 darjah ke 30 darjah.

MAG 341CQP QD-OLED

Ini adalah satu lagi monitor skrin QD-OLED melengkung juga dengan kadar lengkungan 1800R. Kali ini saiz skrin adalah 34-inci beresolusi UWQHD 3440 x 1440. Ia turut menyokong kadar segar semula 175Hz dengan sela masa 0.03ms GTG, menerima pengiktirafan VESA sama seperti model di atas iaitu HDR400 dan CleanMR 13000. Kaki monitor juga lebih kurang sama. Untuk sambungan MAG 341CQP QD-OLED menyertakan 1x DP 1.4a, 2x HDMI 2.1, 1x USB-C DP + PD 15W, 2x USB-A 2.0 (KVM), 1x USB-B dan 1x bicu audio 3.5mm.

MAG 321UPX QD OLED | MAG 271UPX QD OLED

Dua monitor ini adalah yang sama dengan beza paling ketara adalah saiz skrin, resolusi, kadar segar semula dan kaki yang digunakan. Model pertama MAG 321UPX hadir dengan skrin QD-OLED bersaiz 31.5-inci beresolusi UHD 3840 x 2160 dengan kadar segar semula 240Hz 0.03ms GTG dan turut diiktiraf dengan VESA HDR400. Kaki monitor ini boleh laras ketinggian dari 0-100 mm, sudut pandangan boleh ubah dari -5 darjah ke 20 darjah, monitor boleh dipusingkan dari -30 darjah ke 30 darjah dan boleh pivot -10 darjah ke 10 darjah.

MAG 271UPX adalah versi lebih kecil dengan saiz skrin 27-inci beresolusi WQHD 2560 x 1440. Kebanyakan ciri adalah sama dengan model 31.5-inci tetapi kadar segar semula monitor ini boleh mencapai sehingga 360Hz. Sokongan kaki pula hanya ada tambahan pivot -90 darjah ke 90 darjah. Lain-lain adalah sama termasuk dengan sambungan iaitu 1x DP 1.4a, 2x HDMI 2.1, 1x USB-C DP + PD 15W dan 1x bicu audio 3.5mm.

MAG274QRF QD E2

Satu model monitor mampu milik turut menumpang pelancaran monitor QD-OLED MSI yang lain. MAG274QRF QD E2 adalah monitor mampu milik baharu. Walaupun ada nama “QD”, ia hanyalah terma bagi Quantum Dot tetapi monitor ini tidak menggunakan OLED sebaliknya IPS LCD bersaiz 27-inci beresolusi WQHD 2560 x 1444 dengan nisbah paparan 16:9.

Ia menyokong kadar segar semula 180Hz dengan kadar sela masa 1ms GTG. Turut diiktiraf dengan VESA HDR400 dan menyokong sambungan yang sama dengan MAG 271UPX, cuma USB-C pada monitor ini menyokong PD 65W. Kaki monitor ini boleh laras ketinggian dari 0-90 mm, sudut pandangan boleh ubah dari -5 darjah ke 20 darjah, monitor boleh dipusingkan dari -45 darjah ke 45 darjah dan boleh pivot 0 darjah ke 130 darjah.


Kesemua monitor MSI yang dilancarkan hari ini turut dilengkapi dengan OLED Care 2.0 iaitu sistem perlindungan skrin bagi mengelak masalah tunaksrin (burn-in) berlaku. MSI menjanjikan yang pengguna akan dapat mengalami pengalaman hitam sejati untuk panel QD-OLED mereka yang dijamin berkualiti tinggi. Sistem penyejukan bebas kipas pada setiap monitor ini menggunakan lapisan grafena memastikan jangka hayat monitor yang lebih panjang.

Berikut adalah harga jualan bagi setiap monitor;

  • MPG 491CQP QD-OLED – RM6,499
  • MAG 341CQP QD-OLED – RM4,799
  • MAG 321UPX QD OLED – RM6,099
  • MAG 271UPX QD OLED – RM4,299
  • MAG274QRF QD E2 – RM1,399
Komen