Kali ini di makmal ujian Amanz, buat ke sekian kalinya kami menguji satu lagi jenis produk audio daripada Soundcore iaitu sub jenama Anker yang bukan lagi sebuah nama baru dalam dunia audiofil. Bahkan Soundcore seringkali hadir dengan penawaran pelbagai produk audio yang berkualiti dari masa ke masa. Justeru itu, artikel ulasan kali ini adalah berkenaan dengan sebuah fon telinga nirwayar terbaru daripada Soundcore iaitu Aerofit Pro hasil daripada ujian penggunaan selama beberapa minggu.

REKAAN & SPESIFIKASI
Anker SoundCore Aerofit Pro | |
---|---|
Jenis | Fon telinga jenis open ear |
Pemandu | 16mm |
Mikrofon | 4 mikrofon |
Bateri | 14 jam / 46 jam dengan pod |
Port pengecas | USB-C |
Pengecasan nirwayar | Tiada |
CODEC | SBC, AAC, LDAC |
Sistem operasi disokong | Semua |
Sokongan pembantu maya | Ya |
Pad Kawalan | Ya |
Kemampuan kalis air | IPX5 |
Harga Jualan | RM799 |
Rekaan Aerofit Pro ini pada pandangan pertama juga sudah terlihat berbeza berbanding dengan rekaan rata-rata fon telinga nirwayar yang ada di pasaran. Rekaan ini dibuat adalah tidak lain tidak bukan untuk menjadikannya sesuai dipakai meskipun dalam pergerakan fizikal yang aktif dan lasak di samping membolehkan bunyi persekitaran masih dapat didengar ketika memakainya.
Aerofit Pro dibina sebagai fon telinga jenis open ear bersama reka bentuk yang dicipta untuk keselesaan dan membolehkan pengalaman mendengar dapat dinikmati secara maksima. Teknologi LDAC yang terbina sekaligus menjamin kualiti audio yang mantap.

Keselesaan ketika memakai Aerofit Pro ini dijamin cukup memuaskan kerana ia bukanlah jenis fon telinga dengan putik dalam telinga seperti kebanyakan fon telinga, di mana apabila dipakai ia hanya akan terletak pada bahagian atas kuping telinga dengan tidak menutupi lubang telinga sepenuhnya. Rekaan ini membolehkan, bunyi dari luar masih boleh didengari dan saya dapat tetap peka dengan persekitaran sekeliling.

Walau bagaimanapun dengan rekaan sedemikian pastinya kualiti bunyi akan sedikit terganggu dengan bunyi dari persekitaran luar tetapi memandangkan fon telinga ini dicipta khusus untuk penggemar aktiviti sukan dan lasak maka rekaan ini boleh diterima baik sekaligus bertepatan dengan namanya sebagai fon telinga jenis open ear.
Aerofit Pro ini turut hadir dengan pod simpanan dan pengecasan yang cukup berguna. Model yang saya uji adalah berwarna Black Dynamic berserta penjenamaan logo Soundcore di tengah-tengah yang cukup ringkas tetapi masih terlihat kemas dan premium bersama binaan matte. Di bahagian hadapan pod pengecas terdapat satu butang dengan kelipan lampu LED d imana butang berkenaan digunakan untuk membuka penutup pod pengecas.

Kemudian di bahagian bawah terdapat lubang pengecasan untuk USB-C. Selain hitam, Aerofit Pro ini turut hadir dengan tiga lagi pilihan warna lain iaitu warna Calm White, Aqua Blue dan Electric Purple.
Terdapat juga gelung leher boleh tanggal yang berfungsi untuk memastikan fon telinga lebih selamat dan kekal di telinga meskipun melakukan aktiviti lasak. Tetapi tanpa menggunakannya, fon telinga ini masih lagi tersemat utuh pada kedudukannya.

Pada bahagian atasnya terdapat dua butang di setiap satu belah fon telinga yang boleh digunakan untuk mengawal tetapan padanya. Fungsi butangnya adalah baik dan dapat berfungsi dengan baik. Terdapat juga ciri kalis air IPX5 pada Aerofit Pro dengan prestasi kalis air yang sangat berguna jika berpeluh ketika melakukan aktiviti sukan ringan mahupun ekstrem. Walau bagaimanapun, ciri kalis air berkenaan tidak tersedia pada pod pengecasnya.
KUALITI AUDIO
Pastinya kualiti audio merupakan ciri utama yang paling penting setiap kali ujian ke atas fon telinga dibuat. Saya boleh katakan tahap kualiti audio yang diberikan oleh Aerofit Pro ini adalah cukup baik untuk sebuah fon telinga nirwayar open ear yang dicipta khusus bagi penggemar aktiviti sukan. Sebagai penyunting video di Amanz, saya mengambil peluang menguji fon telinga ini ketika membuat suntingan video bagi menilai kualiti audionya.

Secara asasnya saya boleh katakan ujian kualiti audio menggunakan Aerofit Pro ini, lulus. Audio dapat diperdengarkan dengan jelas bahkan ketika kelantangan audio dipertingkatkan ke tahap yang paling tinggi sekalipun, bunyinya masih lagi sedap didengar. Namun, berbalik kepada jenisnya yang merupakan fon telinga open ear, menjadikan audio yang diperdengarkan ada kalanya sedikit terganggu dengan bunyi persekitaran apatah lagi ketika memakainya semasa berada dia ruangan yang bising.
KAWALAN DAN APLIKASI
Penggunaan dan sambungan fon telinga dengan telefon pintar ataupun komputer riba adalah sangat mudah dan cepat dengan fungsi Bluetooth 5.3 berserta sokongan codec SBC, AAC dan LDAC. Aerofit Pro juga boleh disambungkan kepada dua jenis peranti dalam waktu yang sama. Pemasangan aplikasi tidak diperlukan untuk menyambungkannya, tetapi untuk tetapan yang lebih pelbagai maka sokongan aplikasi perlu dimuat turun.
Aplikasi Soundcore boleh dimuat turun secara percuma di Play Store dan App Store. Terdapat pelbagai tetapan yang boleh diubahsuai mengikut kemahuan misalnya seperti tetapan fungsi butang kawalan dan juga tetapan kesan bunyi (sound effects) yang ingin diperdengarkan. Menerusi aplikasi ini, maklumat jangka hayat bateri untuk kedua-dua fon telinga dan sarung pengecas turut dipaparkan.

BATERI
Setelah menggunakan Aerofit Pro ini dengan kerap dalam tempoh dua minggu, saya rasakan bahawa bateri fon telinga ini memiliki jangka hayat bateri yang cemerlang dan paling tahan lama sekaligus mengalahkan kesemua prestasi bateri fon telinga yang pernah saya gunakan sebelum ini. Jangka hayat bateri Aerofit Pro boleh bertahan sehingga lebih 14 jam dan sehingga 46 jam apabila dipadankan dengan rangka pengecasan. Bagi tujuan pengecasan, kabel USB-C digunakan.

DALAM KOTAK
1x Anker Soundcore Aerofit Pro
1x Gelung Leher (neck band)
1x Kabel Pengecasan
1x Manual Pengguna

KESIMPULAN
Saya mahu simpulkan ulasan ini dengan saranan khusus buat mereka yang gemar bersukan untuk mempertimbangkan Aerofit Pro ini sebagai produk audio yang mungkin anda mahu miliki. Kombinasi kualiti audionya bagus, jangka hayat bateri yang panjang, memiliki penarafan kalis air IPX5 dengan reka bentuk yang selesa dan kemas di telinga. Di samping bersukan sambil ditemani muzik, anda masih lagi dapat sentiasa peka terhadap bunyi persekitaran.

Bahkan bagi mereka yang mungkin bekerja dalam keadaan bising seperti gudang atau kawasan sesak dan masih sentiasa perlu mendengar bunyi di sekeliling, maka Aerofit Pro ini mungkin untuk anda. Harga RM799 yang ditawarkan mungkin sedikit mahal tetapi melihat kepada kualitinya maka Aerofit Pro ini wajar dipertimbangkan jika anda benar-benar mahukan peneman audio yang berkualiti khususnya ketika bersukan.
PRO
- Ciri kalis air IPX5.
- Aplikasi yang mudah digunakan.
- Jangka hayat bateri panjang.
- Sokongan LDAC.
KONTRA
- Harga sedikit mahal.
- Hanya lebih fokus pada penggunaan khusus seperti bersukan dan aktiviti luar.
- Tiada ANC kerana ia dari jenis open ear.
