Cari @ Amanz

Huawei mengumumkan tarikh pelancaran rasmi untuk siri Nova 12 baharu di Malaysia. Ia dijadualkan berlangsung pada 25 Mac 2024 dengan tiga model berbeza yang sepatutnya diumumkan. Ianya terdiri dengan Huawei Nova 12s, Nova 12 SE dan Nova 12i dengan spesifikasi penuh yang sudah disenaraikan melalui laman web rasmi.

Huawei Nova 12s menawarkan skrin OLED FHD+ 6.7-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Seterusnya cip Snapdragon 778G digunakan dengan storan dalaman 256GB dan pelancar baharu EMUI 14. Tetapan kamera pula terdiri dengan 50MP (utama) + 8MP (ultra lebar) dan swafoto sebesar 60MP. Bateri 4500mAh disertakan boleh dicas melalui pengecasan pantas 66W.

Huawei Nova 12 SE pula menggunakan skrin OLED FHD+ sebesar 6.67-inci dengan kadar segar semula 90Hz. Ini digabungkan dengan cip Snapdragon 680, storan dalaman 256GB dan pelancar baharu EMUI 14 untuk tunjang utama. Turut disertakan ialah kamera utama 108MP + 8MP (ultra-lebar) + 2MP (makro) dan swafoto sebesar 32MP. Bateri pula sebesar 4500mAh yang menyokong pengecasan pantas 66W.

Akhir sekali, Huawei Nova 12i dilengkapi skrin 6.7-inci OLED FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Cip Snapdragon 680 disertakan dengan storan dalaman 256GB dan pelancar baharu EMUI14. Diikuti dengan bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan 40W sebagai pelengkap. Kamera pula terdiri dengan 108MP + 2MP untuk utama dan 8MP untuk swafoto.

Persoalan utama kini tertumpu pada harga jualan rasmi yang sudah semestinya diumumkan selepas pelancaran rasmi kelak. Kami di Amanz akan berkongsi mengenainya melalui artikel yang akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd