Tahun lepas, telah kami laporkan yang Google turut akan mengembangkan perkhidmatan AI generatif mereka ke aplikasi Google Keep. Selepas berbulan menanti, baru-baru ini saya sedari aplikasi Google Keep pada dua peranti Android yang saya gunakan telah mempunyai ciri ini.

Untuk menggunakan ciri ini, buka sahaja Keep dan cipta nota baharu. Akan ada butang terapung Help me create a list yang boleh ditekan. Perlu diingatkan yang AI pada Keep hanya boleh menjana senarai sahaja, jadi masukkan prom untuk topik yang berkaitan seperti “rancangan jamuan hari jadi”, “resipi memasak ayam bakar”, “langkah efisien kemas rumah” dan lain-lain lagi.

Selepas senarai dijana, pengguna perlu tekan butang Insert untuk memasukkan ke dalam nota. Dalam cubaan saya, ia terhad kepada bahasa Inggeris sahaja buat masa ini. Satu masalah yang saya temui adalah aplikasi Keep sendiri yang tidak menyokong mana-mana format perenggan. Jadi kalau telah cipta senarai dengan kotak semak (checkbox), semua barisan akan menjadi senarai dan tidak boleh untuk campur bahagian atas senarai dan bahagian bawah perenggan.
Ciri AI pada Keep ini adalah kemas kini dari bahagian pelayan. Kerana peranti Samsung Galaxy A55 menggunakan versi 5.24.092.02.90, sementara pada Nothing Phone (2a) menggunakan versi 5.24.102.02.90. Anda boleh pasang melalui Google Play Store.