Isu kehilangan data melalui serangan godaman dilihat semakin meningkat bukan sahaja dalam sektor perusahaan dan kerajaan tetapi juga memberi kesan kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana juga. Syarikat-syarikat ini sudah mula mengenalpasti keperluan untuk memastikan data mereka adalah selamat.
Oleh kerana ini, Synology juga telah memperkenalkan beberapa solusi baharu yang memastikan bahawa data pelanggan-pelanggan peranti NAS (Network-Attached Storage) mereka dengan solusi perisian baru yang bukan sahaja memastikan data mereka selamat, tetapi memudahkan pengurusan data tersebut.

Pertama ialah ciri Secure SignIn, dimana ia merupakan sebuah ciri log masuk selamat yang tidak menggunakan kata laluan tetap untuk melog masuk kedalam akaun pentadbir IT. Ia menggunakan kod pengesahan OTP dan kunci keselamatan perkakasan yang akan sentiasa bertukar dan memerlukan peranti kedua untuk mengaksesnya.

Active Backup for Business pula memberi penyelesaian perlindungan data semua-dalam-satu, yang memeperkenalkan fungsi sandaran untuk semua data syarikat, tidak kira ia terkandung didalam pelayan fizikal, mesin maya ataupun dalam komputer peribadi. Bukan sahaja ia mampu menyandar data dengan baik, ia juga tampil dengan ciri deduplication dimana NAS Synology akan mengimbas data yang disandarkan, dan hanya menyimpan satu salinan data sekiranya salinan fail yang sama ditemui.

Ini sedikit sebanyak akan membolehkan syarikat untuk menjimatkan ruang storan sandaran, membolehkan mereka menyimpan lebih banyak data yang lain.
Synology juga telah mempamerkan Snapshot Replication, iaitu sebuah ciri yang membolehkan NAS Synology untuk memulih semula data secara cekap sekiranya NAS ataupun pelayan syarikat digodam dan data mereka dikunci oleh serangan perisian tebusan (ransomware).

Pentadbir boleh menetapkan konfigurasi seperti tempoh sandaran untuk memastikan bahawa sandaran data mereka mempunyai maklumat yang paling lengkap, sekiranya tiba masa syarikat-syarikat ini perlu memulih data pelayan mereka.

Synology mengatakan lagi bahawa solusi perisian ini ditawarkan di semua produk-produk mereka, selagimana perkakasan NAS mereka masih lagi dalam tempoh waranti dan juga masih lagi menerima kemaskini perisian.

Jason Sin, Pengurus Negara Synology Malaysia mengatakan bahawa produk NAS Synology merupakan pilihan 70 peratus daripada syarikat kecil dan sederhana di Malaysia kerana ia mudah didapati dan senang untuk digunakan, disamping ciri-ciri keselamatannya yang cukup berkuasa sekali.