Carian
Amerika Syarikat Menyaman Apple – Mendakwa Apple Memonopoli Melalui iPhone
March 22, 2024 Aman

Amerika Syarikat melalui “US Department of Justice” kini menyaman Apple, mengatakan syarikat berkenaan terlibat dalam memonopoli pasaran telefon pintar dengan kaedah mengawal beberapa perkara melalui platform dan peranti mereka – termasuk menggunakan kedudukan dominan dalam mengawal pengedaran aplikasi.

Antara yang dikatakan adalah termasuk menyatakan Apple mengenakan beberapa had terhadap pengguna dan pembangun melalui akses ke iPhone. Antara perkara yang disentuh adalah termasuk halangan terhadap aplikasi penstriman permainan berasaskan awan yang mungkin membolehkan penggunaan perkakasan yang lebih berharga rendah untuk mengakses permainan video. Saman berkenaan turut menyatakan kawalan ini membolehkan yuran lebih tinggi dikumpulkan, selain mengekang pada inovasi, dan menjadikan pengalaman pengguna kurang menarik.

Ia turut disentuh berkenaan kekangan kualiti permesejan antara iPhone dan Android, mengehadkan penggunaan jam tangan pintar pihak ketiga bersama iPhone, menyukarkan pengguna Apple Watch beralih, menghalang pembangun pihak ketiga membangunkan aplikasi pesaing seperti dompet digital, dan beberapa yang lain.

Menyentuh berkenaan perkara ini, Apple menyatakan mereka memfokuskan pembangunan teknologi yang disukai ramai – yang boleh digunakan bersama-sama dengan mudah. Apple mengatakan saman ini akan mengancam siapakah dan prinsip produk Apple yang berbeza dengan produk lain di pasaran. Pada masa yang sama, Apple turut menyatakan ini mungkin membawa kepada sebuah kes yang menetapkan kuasa kerajaan dalam mengawal rekaan teknologi untuk pengguna. Apple percaya yang saman ini adalah tidak betul, dan mereka akan melawan saman ini.

Selain saman ini di Amerika Syarikat, Apple juga turut telah mula melakukan beberapa perubahan pada penawaran mereka di Eropah, dengan membuka akses kepada pembangun lain menawarkan kedai aplikasi, memudahkan pengguna mengubah aplikasi utama, dan beberapa ciri lain. Adakah dengan saman terbaru di Amerika Syarikat ini, ia akan turut membawa perubahan pada iOS di peringkat global?

Komen