Qalbox adalah platform penstriman video bertemakan Islam sepenuhnya di bawah Muslim Pro. Platform mereka berkembang dengan cukup pantas sehingga sudah tersedia pada Android, iOS, Apple TV, Samsung TV (2019 ke atas) dan juga Android TV. Baru-baru ini, Qalbox mula menawarkan perkhidmatan AI tersendiri iaitu AiDeen iaitu chatbot mengenai agama Islam dan sempena bulan Ramadan sebuah siri TV yang dibangunkan dengan AI turut akan disiarkan.

Pagi hari ini saya berpeluang menemuramah ketua Qalbox iaitu Junaidah Binti Said Khan. Saya menggunakan peluang ini untuk bertanyakan soalan berkaitan menggunakan AI dalam pembangunan kandungan bertemakan Islam termasuk etika, mempersoalkan kesahihan fakta dan grafik agama serta sejarah yang dijana AI, apa seterusnya untuk AiDeen dan juga kenapa Muslim Pro dan Qalbox kini menjadi dua langganan berbeza.

Puan Junaidah berkongsi yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan generatif dalam pembangunan kandungan adalah memudahkan manusia. Ia tidak menggantikan manusia kerana Qalbox masih memerlukan kepakaran dan sentuhan manusia untuk menghasilkan kandungan yang terbaik. Misalnya, menjana sesuatu dengan AI memerlukan individu yang pakar dengan prom kemudian hasil janaan perlu disahkan kesahihannya dengan pakar sejarah, pakar agama, para ulama dan banyak lagi pihak berkenaan bagi memastikan tiada informasi salah tersebar.
Untuk siri TV Muhammad the Mercy for the Multiverse, Qalbox bekerjasama dengan Quran Scape dari Amerika Syarikat. Quran Scape pakar dalam menghasilkan kandungan digital bertemakan Islam lebih-lebih lagi topik Al-Quran. Perisian AI yang digunakan pula adalah OpenAI, Midjourney, Runaway dan juga ElevenLabs.

Penggunaan AI ini turut akan dikembangkan lagi seperti menjadikan AiDeen lebih interaktif dan mungkin menawarkan permainan kepada pengguna. AI yang sedia digunakan turut akan dimanfaatkan untuk menambah lagi siri TV, filem dan mungkin suatu hari nanti kandungan animasi bagi menarik lebih ramai penonton kanak-kanak dan golongan muda.

Qalbox turut yakin yang kandungan AI adalah kandungan format baharu yang boleh menjadi bahan pendidikan untuk mereka yang ingin mendalami lagi ilmu pengetahuan atau yang ingin belajar lagi mengenai agam Islam yang indah ini. Puan Junaidah turut berkongsi yang sebab langganan Muslim Pro dan Qalbox diasingkan adalah atas permintaan ramai pengguna yang hanya inginkan Qalbox sahaja tanpa langganan Muslim Pro. Beliau turut berkongsi yang Qalbox baru berusia dua tahun jadi akan ada banyak perubahan pada pelan dan juga penawaran kandungan.

Jika anda berminat untuk dapatkan Qalbox, harga langganan adalah RM29.90 setahun. Jika hanya ingin dapatkan Muslim Pro, ia berharga RM22.90 setahun dan khusus untuk bulan Ramadan RM24.90 setahun (RM2.07 sebulan) anda boleh dapatkan kedua-duanya sekali.