Tatkala dunia IT kini sedang melalui anjakan paradigma kepada penggunaan kecerdasan buatan dan juga dunia maya secara meluas, CelcomDigi telah memperkenalkan CelcomDigi Metaversity, iaitu modul pembelajaran inovatif yang dibangunkan bersama-sama Kementerian Pengajian Tinggi dan syarikat-syarikat teknologi maya VIRNECT dan XRA untuk memacu pembelajaran institusi pengajian tinggi tempatan dalam teknologi berkaitan.

CelcomDigi Metaversity memberi nafas baharu dalam pendidikan tinggi menerusi aplikasi teknologi canggih, seperti metaverse, XR, AI, robotik, dan 5G dalam modul pembelajaran mayanya, untuk membolehkan pelajar mengalami sendiri pengalaman pembelajaran digital secara maya, dan memperkukuhkan kepakaran teknikal mereka terhadap kemahiran yang tinggi permintaannya ini.

Sebanyak 10 universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), MAHSA University, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka ( UTeM), juga telah mengikrarkan komitmen mereka untuk menerima pakai modul pembelajaran mengasyikkan CelcomDigi Metaversity.
Sewaktu acara pelancaran CelcomDigi Metaversity, para pelajar dari universiti-universiti seperti APU, UKM dan UTeM telah memperlihatkan demo teknologi yang dibangunkan dalam masa dua bulan sebagai bukti konsep bagaimana silibus ini dapat membantu para siswa dan siswazah untuk menyiapkan diri tentang bagaimana industri IT dan kejuruteraan akan dibentuk di masa hadapan.

Selain dari silibus, CelcomDigi juga akan menawarkan rangkaian 5G mereka dan juga kelengkapan peranti berhubung (IoT) untuk mempermudahkan proses pembelajaran para pelajar universiti.
Inisiatif Metaversity CelcomDigi bermula pada September 2023 melalui kerjasama dengan VIRNECT dan XRA untuk membangunkan pembelajaran dan pendidikan berasakan pengalaman menggunakan Metaverse, buat universiti di Malaysia.