Realitinya apabila bercakap mengenai telefon mampu milik seharuskan kita tidak boleh meletakkan harapan yang tinggi. Ini disebabkan tawaran spesifikasi yang setanding dengan harga diberi. Infinix Smart 8 Pro boleh dikategorikan sebagau peranti asas mampu milik dan dijual di bawah RM400. Sudah semestinya banyak persoalan yang akan bermain dalam fikiran anda mengenai prestasi dalam dunia nyata. Inilah ulasan kami untuk Infinix Smart 8 Pro.

Spesifikasi
Infinix SMART 8 Pro | |
---|---|
Skrin | 6.6-inci IPS LCD, 90Hz 720 x 1612 pixels (~395 ppi) |
Pemproses | Mediatek Helio G36 (12 nm) |
Cip | 4×2.2 GHz Cortex-A53 4×1.6 GHz Cortex-A53 |
Cip Grafik | PowerVR GE8320 |
RAM | 4GB RAM |
Muatan Dalaman | 128GB ROM |
Kamera Utama | 50MP f/1.9 (lebar), PDAF Lensa AI |
Kamera Swafoto | 8MP f/2.5 |
Bateri | 5000mAh Berwayar 18W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 4G Kad microSD |
NFC | Tiada |
Bicu Audio | Ada |
Kalis Air | IP53 |
Sistem Imbasan | Imbasan cap jari sisi |
Harga Jualan | RM399 (4/128GB) |
Skrin Hadapan
Spesifikasi adalah sederhana dengan skrin IPS LCD HD+ berukuran 6.6-inci. Situasi ini boleh menimbulkan ketidakpuasan di hati pengguna yang mahukan kualiti paparan lebih tajam. Begitu juga dengan kecerahan puncak 500nits yang sekadar cukup digunakan dalam kawasan tertutup untuk kandungan visual yang jelas. Penghasilan semula warna juga sederhana dan boleh menjadi terlalu tepu dalam sesetengah keadaan. Diikuti juga sokongan takuk kecil untuk peletakan kamera hadapan bersama saiz bezel tidak sekata.

Namun kami merasakan peranti ini memuaskan sahaja untuk sebuah panel LCD. Ia juga sesuai sahaja untuk kebanyakkan kegunaan harian seperti melayari web, menonton video dan bermain permua sederhana. Malahan masih boleh diterima untuk harga jualannya. Isu yang dihadapi kami ialah skrin yang kurang responsif terhadap sentuhan atau proses membuka aplikasi sehingga terjadinya gangguan terhadap aktiviti harian.


Infinix memasarkan peranti dengan skrin berkadar segar semula 90Hz yang sepatutnya boleh digunakan tanpa masalah. Namun sebaliknya pula yang berlaku apabila kami mengalami masalah sela masa yang ketara terutamanya sewaktu melakukan pertukaran aplikasi. Bagi yang melanggan Netflix pula, kandungan hanya boleh diakses pada resolusi SD kerana peranti sekadar menyokong pensijilan Widevine L3.

Namun sebenarnya skrin ini mempunyai kelebihan tersendiri apabila masih menawarkan sebuah lampu mini-LED putih yang diletakkan pada bahagian atas. Ini amatlah berguna untuk proses mengecas dalam kawasan gelap dengan skrin yang tertutup. Sekaligus memberi nilai tambah pada Infinix sendiri memandangkan ia sudah jarang ditemui pada peranti pintar terkini.
Rekaan Fizikal
Keseluruhan peranti diperbuat daripada bahan plastik berkilat bersama bingkai aluminium. Diikuti juga panel belakang pusam dan sisi yang rata telah menimbulkan rasa selesa di genggaman. Panel belakang peranti ini juga didominasi oleh bonggol kamera besar pada bucu atas kiri yang hampir memenuhi sepertiga ruangan.

Sebanyak dua kamera utama bersama sebuah LED Flash dengan susunan sebuah peranti iPhone disediakan melaluinya. Sama ada cantik, unik atau peliknya rekaan ini sekalipun penilaian tersebut bersifat subjektif kerana bergantung pada pandangan dan pendapat masing-masing. Infinix Smart 8 Pro boleh didapati dalam empat pilihan warna yang termasuk Shinny Gold seperti unit ulasan diterima.

Kemudian sisi kanan menempatkan butang kuasa dan audio dengan binaan yang rata. Diikuti pula dengan port pengecas, ruang slot SIM dan pembesar suara di bahagian bawah. Sokongan dwi-SIM pula boleh digunakan serentak dengan ruang kad mikroSD diberikan bersama. Namun ia masih boleh dikembangkan secara maya sehingga 4GB melalui ciri MemFusion yang juga diberi pilihan bertukar ke 3GB atau 2GB sebagai tambahan.


Kesemua ini telah dimuatkan dalam tubuh yang berukuran 163.6 x 75.6 x 8.5 mm. Namun kehilangan beberapa perkara seperti tiada penarafan kalis air memerlukan pengguna agar sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan kerosakan yang tidak diingini. Begitu juga dengan tiadanya sokongan NFC dan rangkaian 5G terbina tetapi boleh dimaafkan memandangkan ia hanyalah peranti asas bajet di bawah RM400.
Biometri
Kemudian pengimbas cap jari sisi disertakan bagi tujuan sekuriti dan terbina pada butang kuasa. Ia boleh ditemui di bahagian sisi kanan peranti bersama butang laras audio, diikuti pula ruang slot SIM pada bahagian siri kiri. Prestasi cap jari dilihat kurang memuaskan dengan isu kegagalan mengesan jari dengan sebaiknya namun keadaan mungkin berbeza dengan unit yang dipasarkan. Terdapat juga sistem imbasan wajah yang berfungsi agak baik meskipun dalam keadaan gelap kerana skrin akan menyala terang bertujuan memudahkan proses pengecaman wajah.
Perkakasan – MediaTek Helio G36
Infinix Smart 8 Pro menggunakan cip MediTek Helio G36 dengan memori 4GB RAM dan storan 128GB. Ia turut boleh dikembangkan secara maya sehingga 4GB RAM melalui fungsi MemFusion dan disertakan kebolehan kad mikroSD sebagai tambahan. Namun hakikat yang perlu diakui pilihan tersebut sokongan RAM maya tersebut boleh dianggap sekadar gimik semata-mata malahan juga tidak membantu dalam memaksimumkan prestasi peranti.

Ia memberikan pengalaman penggunaan yang tidak begitu lancar. Kami menyedari berlakunya masalah sela masa amat ketara terutama apabila melakukan pertukaran aplikasi. Sela masa ini menjadi semakin kronik dengan jumlah aplikasi yang banyak dilancarkan serentak. Masa menunggu yang agak lama untuk aplikasi dilancarkan juga dapat kami sedari. Begitu juga dengan berlakunya masalah sela masa sewaktu menggunakan papan kekunci pada kelajuan yang pantas.

Namun aspek yang perlu diberi perhatian adalah kami tidak mengalami sebarang masalah kegagalan aplikasi berfungsi atau dihentikan secara paksa ketika digunakan. Kami juga berpendapat bahawa Infinix mungkin boleh mempertimbangkan cadangan untuk menggunakan sekurang-kurangnya 6GB RAM untuk prestasi lebih baik khususnya untuk multi-tugas. Dalam masa sama tidak disarankan untuk permua jenis berat kerana ia bukanlah sebuah telefon untuk tujuan berkenaan.
Perisian – XOS 13 (Berasaskan Android 13)
Perisian XOS 13 berasaskan Android 13 digunakan pada peranti. Boleh dianggap ketinggalan sedangkan peranti asas Realme C67 sudah menjalankan Android 14. Ia mempunyai sejumlah aplikasi lalai seperti Palm Store misalnya yang sering memuat-turun aplikasi tanpa persetujuan daripada pengguna. Bukan itu sahaja, ia juga sering memaparkan pemberitahuan dan iklan kurang penting yang sangat mengganggu keselesaan penggunaan.

Ia bagaimanapun masih boleh dimatikan melalui ruang tetapan bagi mengelakkan pemberitahuan dan iklan berkenaan daripada terus muncul. Ciri tambahan lain yang wujud adalah ciri Magic Ring yang diklonkan menggunakan konsep seperti Dynamic Island pada peranti Apple. Ia berfungsi dengan baik dan boleh menunjukkan pelbagai status sistem seperti peratusan bateri, tempoh panggilan, animasi membuka kunci dan proses pengecasan.




Kamera Dan Kualiti Gambar
Infinix Smart 8 Pro dilengkapi dua kamera utama dengan tetapan 50MP (utama) + AI yang kemudiannya diikuti dengan kamera swafoto 8MP. Peranti ini juga membenarkan pengguna merakam video sehingga 1080P/30fps pada kedua-dua kamera tanpa sebarang ciri penstabilan video yang disediakan.

Seterusnya, fungsi kamera pula terdiri dengan Night, Street,Video, Photo, Portrait, 50M dan More. Kamera juga menyokong AI dan HDR terbina bagi membolehkan gambar diambil dengan imbangan cahaya baik. Pada masa sama kebolehan ini turut boleh dimatikan secara manual menerusi tetapan yang tersedia di bahagian atas aplikasi kamera. Pilihan tangkapan gambar pula boleh diambil pada nisbah 1:1, 4:3 dan penuh.



Kualiti gambar menunjukkan prestasi yang boleh diterima dalam keadaan pencahayaan terang. Diikuti dengan penghasilan semula warna yang selaras dengan objek sebenar namun perincian sekadar sederhana dengan gambar lebih kearah lembut. Seterusnya, kami juga sedari gambar yang diambil mempunyai masalah lebihan dedahan dalam sesetengah keadaan. Dalam masa sama, peranti juga mempunyai masalah mengambil gambar dalam pencahayaan yang rendah. Sokongan mod malam terbina juga dilihat tidak membantu malah memberi hasil lebih kurang memuaskan berbanding biasa.





Namun perlu diingatkan bahawa Smart 8 Pro hanyalah sebuah telefon mesra bajet. Justeru adalah tidak begitu realistik untuk mengharapkan bahawa kualiti kameranya setanding peranti lebih mahal. Menggunakannya untuk tujuan harian biasa juga tiada masalah malahan lebih daripada memadai.
Ketahanan Bateri
Bateri 5000mAh digunakan mampu bertahan sepanjang hari dengan SOT mencapai 14 jam dan bateri berbaki 20%. Sebahagian besarnya digunakan untuk aktiviti harian biasa seperti melayari web, menatal media sosial, menavigasi peta, menonton video dan mengambil gambar yang bergantung sambungan WiFi/hotspot secara bertukar ganti. Kepala pengecas disediakan menyokong kuasa output 18W dan mengambil masa lebih 2 jam untuk mengecas bateri sepenuhnya. Justeru lebih disarankan untuk mengecas peranti pada waktu malam selepas habis kerja dan sebagainya.
Audio
Seterusnya hanya satu pembesar suara diberikan yang diletakkan di bahagian bawah bersama port USB-C dan bicu audio 3.5mm. Kualiti audio sekadar sederhana dengan lontaran audio yang rata dan berkecamuk pada kelantangan yang tinggi. Namun dengan adanya sokongan bicu audio terbina dilihat mengubat kekecewaan dengan kualiti audio memuaskan berbanding mendengar terus daripada pembesar suara asal.
Peranti Pesaing
Infinix SMART 8 Pro | Redmi A3 | Tecno Spark GO 2024 |
6.6-inci IPS LCD, 90Hz 720 x 1612 pixels (~395 ppi) | 6.71-inci IPS LCD, 90Hz 720 x 1612 pixels (~268 ppi) | 6.6-inci IPS LCD, 90Hz 720 x 1612 pixels (~267 ppi) |
Mediatek Helio G36 (12 nm) 4×2.2 GHz Cortex-A53 4×1.6 GHz Cortex-A53 | Mediatek Helio G36 (12 nm) 4 x 2.2 GHz Cortex-A53 4 x 1.6 GHz Cortex-A53 | Unisoc T606 (12 nm) 2 x 1.6 GHz Cortex-A75 6 x 1.6 GHz Cortex-A55 |
PowerVR GE8320 | PowerVR GE8320 | Mali-G57 MP1 |
4GB RAM | 4GB RAM | 4GB RAM |
128GB ROM | 128GB ROM | 128GB ROM |
Kamera Utama 50MP f/1.9 (lebar) Lensa AI | Kamera Utama 8MP f/1.9 (lebar) Lensa AI | Kamera Utama 13MP f/1.9 (lebar) Lensa AI |
Kamera Hadapan 8MP f/2.5 | Kamera Hadapan 5MP f/2.5 | Kamera Hadapan 8MP f/2.4 |
IP53 | IP53 | Tiada |
Bicu audio | Bicu audio | Bicu audio |
Audio mono | Audio mono | Audio mono |
5,000mAh Berwayar 18W | 5,000mAh Berwayar 10W | 5,000mAh Berwayar 10W |
RM399 (4/128GB) | RM429 (4/128GB) | RM399 (4/128GB) |
Apa Di Dalam Kotak
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak Infinix Smart 8 Pro:
- 1 x Infinix Smart 8 Pro.
- 1 x Kepala Pengecas 18W.
- 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
- 1 x Kerangka Keras.
- 1 x Manual Pengguna.
- 1 x Pencungkil SIM.

Kesimpulan
Infinix Smart 8 Pro mempunyai kualiti binaan yang baik dan kemas. Namun seperti yang diperkatakan tadi ia sangat subjektif dan bergantung pandangan masing-masing untuk menilainya. Pengalaman penggunaan adalah sederhana dengan penggunaan seharian yang berfungsi tetapi dengan masalah sela masa yang ketara. Apabila ingin melancarkan sesebuah aplikasi terdapat sela masa agak lama sebelum ianya dilancarkan sepenuhnya.

Kemampuan kamera juga sederhana dengan masalah butiran tidak dijaga dengan baik. Kemampuan ambil gambar dalam pencahayaan rendah juga hanya sederhana dengan majoritinya menunjukkan masalah hingar yang ketara. Namun bateri digunakan mampu menawarkan jangka hayat bateri yang panjang pada penggunaan sederhana. Tiada pengecasan pantas bagaimanapun menimbulkan kekecewaan.

Dengan harga RM399 sebuah Infinix Smart 8 Pro adalah sebuah telefon mesra bajet tetapi bukan semua sesuai pakai.
Pro
- Magic Ring berfungsi dengan baik.
- Kamera sederhana tetapi boleh digunakan.
- Pengimbas cap jari pantas.
- Bicu audio 3.5mm
- Bateri tahan lama.
Kontra
- Masalah sela masa ketara.
- Pembesar suara mono.
- Pengecasan perlahan.
- Tiada sokongan 5G.
